Maklumat terbaru kes Puteri Diana  
Keadaan kereta dinaiki Diana dan Dodi yang remuk sejurus kemalangan di Paris

LONDON - UNITED KINGDOM - Pihak berkuasa Britain, kelmarin, memulakan siasatan terbaru selepas dilapor menerima maklumat berhubung kematian Puteri Diana dan teman lelakinya Dodi al-Fayed, 16 tahun lalu.

"Setakat ini, pegawai yang terlibat sedang menilai sama ada maklumat tersebut relevan untuk disiasat," kata jurucakap Jabatan Polis Metropolitan (Scotland Yard).

Bagaimanapun, Scotland Yard masih enggan mengeluarkan butiran lanjut mengenai kesahihan siasatan dan hanya memaklumkan bahawa penilaian akan dilakukan oleh barisan pegawai jenayah khas serta unit operasi.

Memetik laporan AP, pasukan keselamatan bagaimanapun menegaskan, keputusan kes terdahulu tidak akan diubah.

Dalam 2008, juri Britain memutuskan Princess of Wales dan Dodi terbunuh selepas kereta dinaiki mereka terbabas berikutan mengelak dikejar paparazzi serta pemandu yang mabuk.