Penyanyi dangdut Leina Hangat kini tampil dengan imej berhijab selepas hatinya terdetik untuk berbuat demikian ketika menghadiri kursus keagamaan pada bulan Ogos lalu. 
 
"Semua yang terjadi dalam hidup kita ada hikmahnya, saya tidak kisah orang anggap saya tidak sempurna, asalkan saya cuba jadi yang terbaik demi Allah taala.
 
"Saya rasa saya sudah terlambat dan sepatutnya dari dulu lagi saya berubah tapi saya bersyukur ada masa lagi untuk saya bertaubat," ujar Leina yang dipetik daripada mStar Online. 
 
Dalam perkembangan sama, Leina juga mengakui tidak mahu melihat gambar-gambar lamanya yang berpakaian seksi.
 
"Saya tidak pernah tengok gambar lama, jika orang masih bercakap fasal gambar-gambar seksi saya biarlah, itu zaman jahiliah dan saya jadikan ianya sebagai renungan untuk menjadi lebih baik."
 
Selain itu, Leina juga masih meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, namun kini lebih menjaga batas sebagai seorang yang berhijab.