UtusanDaily

Friday 20 September 2013

Olimpik 2020 : Kenapa Jepun dipilih dan Turki di tolak untuk menjadi tuan rumah..!!

Tuah jadi tuan rumah



PADA 7 September lalu, rakyat Turki bagaikan terpaku sewaktu menantikan keputusan yang bakal mencipta sejarah di negara tersebut. Semua rakyat negara itu berharap giliran menjadi bandar tuan rumah Sukan Olimpik ke-32 pada tahun 2020 berpihak kepada Istanbul, Turki.

Pada hari tersebut, syarikat penerbangan Turkish Airlines memecahkan rekod penerbangan tanpa henti paling lama syarikat itu iaitu selama 16 jam bagi menerbangkan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan. 

Penerbangan tersebut dilakukan semata-mata untuk membawa Erdogan, isteri dan anaknya yang pada ketika itu sedang menghadiri Sidang Kemuncak G20 di St. Petersburg, Rusia menuju ke Buenos Aires, Argentina bagi mengikuti pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Turki seakan-akan yakin hak tuan rumah itu akan menjadi milik mereka. Lokasi bersejarah di Dataran Sultanahmet, Instanbul dibanjiri dengan lautan manusia yang tidak sabar mengetahui keputusan berkenaan menerusi layar gergasi yang dipancarkan secara langsung sekitar pukul 11 malam dari Argentina. 

Perebutan untuk menjadi negara tuan rumah Sukan Olimpik 2020 berlangsung antara Jepun, Turki, Sepanyol, Azerbaijan, Qatar dan Itali.

ORANG awam berjalan di hadapan papan iklan yang memaparkan pemenang pingat emas tiga kali Olimpik bagi acara gusti, Kaori Icho di laluan pejalan kaki di Tokyo, Jepun.


"Bagaimanapun, setelah lima kali Turki bertanding menjadi calon negara tuan rumah bagi sukan paling berprestij itu, tuah masih belum memihak kepadanya," menurut laporan portal berita Turki, Al-Monitor baru-baru ini.

Sebaliknya, Tokyo telah diangkat sekali lagi untuk menjadi bandar Sukan Olimpik buat kali kedua selepas diberikan mandat yang sama pada tahun 1964. Jepun pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1972 di Sapporo dan 1998 di Nagano. 

Melihat kepada persaingan yang sengit setiap kali pemilihan tuan rumah Sukan Olimpik, pelbagai persoalan dan spekulasi timbul selepas keputusan muktamad dibuat oleh IOC.

Misalnya, mengapa Istanbul kalah kepada Tokyo dan apa pula kesan pertumbuhan ekonomi kepada negara penganjur? 

Laporan oleh The New York Times menafsirkan kekalahan Istanbul kepada Tokyo itu disebabkan oleh sikap kasar dan autokratik Erdogan terhadap penunjuk perasaan dalam peristiwa Taksim Gezi sehingga mempengaruhi keputusan IOC.
KIRI: Penduduk Jepun meraikan keputusan pemilihan Tokyo sebagai bandar tuan rumah Sukan Olimpik 2020 di dewan bandar raya Tokyo pada 10 September lalu.


Taksim Gezi merupakan insiden demonstrasi jalanan yang dimulakan oleh 50 pencinta alam sekitar yang membantah pembinaan pusat beli-belah di atas tapak Taman Taksim Gezi. Peristiwa tersebut mengorbankan lima orang awam.

Namun, pemilihan Tokyo dianggap lebih kepada satu percaturan selamat kerana penganjuran sukan tersebut bukan medan untuk bermain dengan risiko atas ketidakstabilan politik dan ekonomi sesebuah negara.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, beliau berasa sangat tersentuh dan teruja tatkala mendengar nama Tokyo diumumkan sebagai tuan rumah Olimpik 2020.

"Perasaan gembira ini lebih besar berbanding ketika saya memenangi pilihan raya," katanya sebaik sahaja mendapat khabar gembira tersebut.

Dipilih menjadi tuan rumah bermaksud Tokyo bakal bergelar magnet pelaburan dari dalam dan luar negara. Banyak manfaat ke atas ekonomi Jepun dijangka berlaku.

ILUSTRASI rekaan dalaman Stadium Negara Jepun yang bakal dibina untuk Sukan Olimpik 2020.


Sebagai contoh, England berjaya merangsang perniagaan dan pelaburannya sehingga mencecah angka 9.9 bilion pound (RM50 bilion) berbanding kos keseluruhan yang dikeluarkan iaitu 8.9 bilion pound (RM45 bilion) untuk menganjurkan Olimpik London 2012.

Menurut Laporan Kesan Ekonomi Sukan Olimpik dan Paralimpik London 2012 yang disediakan oleh Oxford Economics pada Julai tahun lalu, penganjuran acara sukan tersebut berjaya menyumbang kepada industri pelancongan sebanyak 2 bilion pound (RM10.32 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Britain.

Menteri Sukan Britain, Hugh Robertson menyatakan, Sukan Olimpik berkait dengan kenangan masyarakat dunia terhadap negara tersebut dan berharap mereka akan datang lagi ke Britain bagi menjalankan perniagaan dan melancong.

Jepun tidak menunggu lama untuk mengorak langkah pertama dengan melakukan persediaan rapi bagi menghadapi Olimpik. Sebanyak 22 daripada 37 lokasi baharu akan dibina di Tokyo bagi tujuan tersebut.

Kerajaan Jepun mengunjurkan kos keseluruhan yang terlibat untuk acara sukan tersebut adalah sebanyak 409 bilion yen (RM13.3 bilion) tetapi bakal mencatat pulangan sebanyak tujuh kali ganda atau 3 trilion yen (RM97.9 bilion).

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive