Rosyam Nor  
(Dari kiri) Datuk Ong Kim Swee, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Ramli Sarip bersama anugerah pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang dianugerahkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada istiadat penganugerahan pingat kebesaran sempena Sambutan Hari Jadi, ke-75, sesi kedua hari ini. - Foto Bernama

DUA penggiat seni yang dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) dan DPSM (Kehormat) yang membawa gelaran Datuk bertekad akan terus berjuang untuk memaju dan memartabatkan industri hiburan negara ke arah masa depan yang lebih baik.

Bagi pelakon, pengacara, penerbit drama dan filem Mohamed Noor Shamsuddin yang lebih dikenali sebagai Rosyam Nor, penganugerahan itu akan menjadi motivasi kepadanya untuk bekerja lebih keras dan mengeluarkan hasil seni yang berkualiti.

"Melihat pengiktirafan yang diberikan ini, saya harus bekerja lebih kuat lagi bukan sahaja untuk diri saya, malah ia juga merupakan tanggungjawab saya untuk terus menyumbang idea untuk industri dan selagi ada idea, saya akan terus berjuang," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena ulang tahun hari jadi Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob yang ke-75.

Rosyam Nor berkata, status Datuk yang diterimanya itu tidak akan mengubah dirinya sebaliknya memberinya semangat untuk melangkah lebih jauh dalam industri seni tanah air.

Sementara itu penyanyi Ramli Sarip yang merupakan penerima tunggal DPSM (Kehormat) berkata penganugerahan itu memberi makna besar pada dirinya untuk terus berkarya dan menyalurkan bahan dan informasi menerusi cara tersendiri.

"Saya tidak terfikir akan dianugerahkan pingat kebesaran ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka kerana mengiktiraf golongan seni yang berkarya," katanya.

Seramai 44 lagi penerima turut dianugerahkan DPSM termasuk jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee.

Pada istiadat penganugerahan tersebut, seramai 427 individu menerima anugerah masing-masing yang didahului bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mortadza Nazarene yang menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Selain Mortadza, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamzah Taib; Panglima 3 Divisyen Mejar Jen Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Pusat Dagang dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia Datuk Pua Kim An turut dianugerahkan DCSM.

Seramai 16 individu menerima Darjah Seri Melaka (DSM); Bintang Cemerlang Melaka (28); Bintang Khidmat Terpuji (50); Pingat Jasa Kebaktian (141); Pingat Bakti Masyarakat (124) dan Pingat Khidmat Lama (16). - Bernama