Hantu Tok Mudim tiada niat takutkan kanak-kanak

BERSUNAT dan kanak-kanak lelaki bukanlah perkara asing bukan sahaja dalam masyarakat Melayu, bahkan kaum lain yang turut mempercayai kaedah bersunat untuk anak lelaki mereka.

Lebih-lebih lagi dewasa ini, kaedah bersunat sudah semakin moden dan ada yang tidak meninggalkan kesan sakit lama kepada kanak-kanak yang baru bersunat.

Bersesuaian dengan musim cuti persekolahan tahun ini, Showbiz Productions Sdn Bhd membawakan filem Hantu Tok Mudim yang sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Bagaimanapun pengarah filem ini, Waan Hafiz berkata, pembikinan Hantu Tok Mudim bukanlah untuk menakutkan penonton terutamanya kanak-kanak lelaki yang belum bersunat atau berkhatan.

Sebaliknya penghasilan filem ini adalah bagi memperkenalkan cara masyarakat Melayu dahulu yang berkhatan secara tradisional.

"Dahulu yang orang mengkhatankan kanak-kanak lelaki dipanggil 'Tok Mudim' dan sekarang ini rata-rata bersunat di klinik oleh doktor.

"Jadi saya masukkan cara bersunat orang dulu dengan diselitkan unsur komedi dan seram dalam penceritaan. Bagaimanapun saya yakin kanak-kanak pada zaman ini sudah lebih matang dan terbuka mengenai perkara ini dan filem ini hanya untuk hiburan semata-mata,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem berkenaan di Cathay @eCurve, baru-baru ini.

Hantu Tok Mudim menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, AR Badul, Harun Salim Bachik dan Adrea Abdullah. Filem ini sudah ditayangkan di pawagam sejak semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai skripnya yang sarat dengan dialog ‘double meaning’, Waan menjelaskan dia sengaja berbuat demikian namun bukan untuk menjadi daya penarik kepada filemnya.

“Memang saya sengaja banyak memasukkan elemen ‘double meaning’ tetapi maksudnya boleh jadi berbeza untuk setiap penonton dan itu keunikan yang saya tampilkan,” katanya yang juga lega apabila filem itu tidak dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Jelas Wan, dia juga banyak melakukan rombakan pada skrip bagi memastikan jalan cerita yang ditampilkan kemas dan mampu membuat penonton ketawa.