AMERIKA SYARIKAT - Syarikat terbesar teknologi di Amerika, Apple telah menandatangani perjanjian untuk membawa produknya, iPhone kepada China Mobile.

Firma China itu mempunyai lebih 760 juta pelanggan dan merupakan salah satu daripada tiga rangkaian yang dianugerahkan lesen 4G pertama China, awal bulan ini.

“China adalah pasaran yang sangat penting untuk Apple.

“Kerjasama ini memberi peluang untuk kami membawa iPhone kepada pelanggan di dunia rangkaian terbesar itu,” kata Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook dalam satu kenyataan yang dipetik dari BBC.

Awal tahun ini, Cook menjangkakan China menggantikan sumber pendapatan terbesar Apple, Amerika Utara.

Namun, Apple masih belum mengumumkan harga yang perlu dibayar oleh pelanggan China untuk model iPhone 5s dan 5c yang dijual melalui China Mobile.

China merupakan negara terbesar bagi penggunaan telefon pintar iaitu 1.2 bilion pengguna.