UtusanDaily

Thursday 12 December 2013

Kutipan derma kilat dapat kumpul RM40K dalam beberapa jam sahaja untuk mangsa banjir

RM40,000 derma kilat!

PENYANYI Datuk Siti Nurhaliza muncul di pusat penempatan mangsa banjir negeri kelahirannya di Pahang, Isnin lalu.

Lewat pukul 2 petang, Siti ditemani suami tercinta, Datuk Seri Khalid Jiwa dan dua anak, Adib Khalid dan Ashraff Khalid menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, Batu 6, Jalan Gambang, Kuantan. Selepas itu, mereka bergerak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Indera Mahkota bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Siti Nurhaliza telah menyampaikan sumbangan daripada Yayasan NurJiwa dan SimplySiti, selain barangan yang disumbangkan oleh peminat-peminatnya yang turut dibawa bersama. Demikianlah prihatin artis kita yang tanpa menunggu masa, tanpa berkira sanggup turun padang memberikan khidmat dan taat bagi membantu pihak yang memerlukan.

Mereka tidak sahaja ‘gah’ di pentas nyanyian, tetapi mempunyai sekeping hati yang sangat tulus, tanpa disuruh-suruh berani ke depan membantu. Barangkali, bagi sesetengah orang, alah apalah sangat yang boleh disumbangkan oleh seorang artis. Menyanyi, berlakon? Apa lagi?

Tetapi lebih jauh daripada itu, sebenarnya kehadiran artis itu sendiri amat besar maknanya kepada sebahagian besar masyarakat. Jika selama ini peminat yang bersusah payah menyokong mereka, membeli tiket konsert, membeli album dan sebagainya, kali ini sampai masanya untuk si artis pula membebat luka hati mangsa-mangsa yang banyak kehilangan itu.

Orang kata, tengok artis popular macam Siti di depan mata, hulurkan senyuman saja pun, sudah cukup memberi semangat untuk banyak orang tersenyum kembali.

"Siti sedar ini hanya sumbangan kecil. Siti tahu, Siti dan rakan-rakan artis lain tidak akan mampu untuk mengubati kelukaan dan kehilangan harta benda mereka, hilang rumah dan ada yang hilang nyawa ekoran bencana.

"Tetapi sekurang-kurangnya Siti dapat bertanya khabar, berbual dengan lebih dekat dan mesra, Siti berharap agar rasa duka mereka sedikit terubat. Siti juga ada memberi mereka kata-kata semangat supaya lebih reda, Insya Allah, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik kepada mereka ini kemudian, sama-sama kita berdoa," katanya.

Dalam kunjungan itu, sasaran utama Siti ialah kaum ibu dan wanita-wanita, selain kanak-kanak. Malah, bantuan bentuk barangan keperluan juga diutamakan kepada wanita dan anak-anak yang memerlukan.

Selain itu, Siti turut memberitahu, dalam persembahannya sempena Iskarnival di Johor Bharu beberapa hari lalu (sewaktu banjir membiak ganas dan melumpuhkan Kuantan), sebanyak RM40,000 berjaya dikutip oleh penganjur yang melancarkan derma kilat untuk mangsa banjir. Ia bukan satu jumlah yang kecil, sebaliknya memberi banyak makna kepada yang memerlukan.

"Siti terharu. Bayangkan, hanya dalam masa beberapa jam sahaja, sebanyak RM40,000 telah berjaya disumbangkan oleh pengunjung yang hadir ke karnival itu yang akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Ini sekaligus membuktikan bahawa rakyat negara kita amat prihatin dan tidak berkira dalam soal menderma untuk membantu insan yang memerlukan. Siti dan artis-artis lain yang turut serta dalam persembahan itu memang sangat-sangat terharu," katanya lagi.

Menyentuh mengenai kelewatannya menghulurkan sumbangan, hanya sekitar selepas lima hari banjir besar berlaku, kata Siti segalanya kerana keadaan kurang mengizinkan. Ini ekoran ada tanggungjawab lain yang perlu dilangsaikan terlebih dahulu, sebelum mempersiapkan diri bertemu dengan mangsa-mangsa. Justeru, ia tidak wajar dibangkitkan atau dijadikan isu sekalipun, kerana apa yang lebih penting ialah niatnya yang ikhlas membantu ketika ini.

"Siti sudah ada komitmen yang terlebih dahulu sudah dipersetujui, melibatkan penganjuran acara orang lain dan sebagainya, tidak mudah mahu menarik diri pada saat-saat akhir kerana akan menjejakan pihak lain juga. Sewaktu banjir besar berlaku, Siti berada di Singapura selama empat hari. Bagaimanapun sebaik sahaja kembali ke Kuala Lumpur pada Ahad, hari Isnin esoknya Siti terus bergegas ke Kuantan.

"Kita kena faham, semua orang punya tanggungjawab masing-masing dan amanah yang telah dipersetujui. Jadi, Siti harap isu ini tidak harus diperbesarkan kerana apa yang kita buat adalah berlandaskan kepada keikhlasan hati masing-masing, usah dipersoalkan," pintanya. - TENGKU KHALIDAH

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive