UtusanDaily

Friday 13 December 2013

Tip melancong: Berbelanja biar berpada

Oleh Suliati Asri

Wow! ‘Potongan harga hingga 70 peratus? Murah ni!’ Itu yang sering kali diungkapkan saat melihat potongan harga di pusat beli-belah.

Jika potongan harga itu diberikan kepada barangan yang sudah lama diimpikan, keterujaan yang dirasai pastinya tidak tergambar de­ngan kata-kata.

Jika boleh, semuanya mahu di borong habis.

Namun, dalam keseronokan melihat diskaun yang ditawarkan pusat beli-belah ketika ini sempena Jualan Akhir Tahun 1Malaysia, Hari Krismas dan sambutan tahun baru 2014 ini, banyak hal yang perlu anda titikberatkan.

BERBELANJA bersama keluarga boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ini bagi mengelak anda tidak menyesal atau berbelanja melebihi had serta tertipu.

Tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu anda berbelanja lebih bijak dan berhemat di samping memperoleh pelbagai barangan yang diinginkan dengan harga yang cukup murah!

Teliti harga sebelum dan selepas diskaun

Jumlah harga barang dengan anggaran yang dibuat tidak sama, malah jauh berbeza.

Keadaan ini sering berlaku terutama ketika ada potongan harga yang cukup tinggi.

Jika tidak mahu terlebih bajet atau terpaksa mengurangkan kuantiti barangan yang ingin dibeli, teliti harga sebelum dan selepas diskaun sebelum ke kaunter bayaran.

Lihat jumlah potongan harga yang ditawarkan. Kesilapan dalam mengang­garkan harga sebenar bayaran ada kalanya disebabkan potongan harga yang diberikan kepada sesuatu barang itu adalah tidak sama dengan apa yang dipaparkan.

Mungkin tersilap label atau tersalah letak barang menyebabkan keadaan ini berlaku.

Oleh itu, sentiasa peka terhadap harga sebenar barang, diskaun yang diberikan dan harga selepas diskaun sebelum membuat bayaran supaya anda pulang dengan senyuman.

Bijak memilih barang

Memanglah jualan murah dan semua barang menawarkan potongan harga hebat.

Namun, itu tidak bermakna anda boleh me­ngambil apa juga barangan begitu saja.

Pilih barangan yang ingin dibeli dengan bijak. Jangan sesekali mengambil barangan yang terlalu tinggi potongan harga yang diberikan tetapi tidak punya keperluan untuk anda.

Anda mungkin puas kerana berjaya memperoleh potongan harga yang tinggi terhadap barangan itu tetapi rugi kerana ia tidak berguna dan hanya disimpan sahaja.

Teliti kualiti barang yang beli

Apa saja barang yang menawarkan diskaun tinggi diambil terus tanpa melihat kualitinya dulu.

Sudahnya, sampai di rumah baju atau seluar yang dibeli itu koyak. Beg atau barang elektrik itu pula mungkin ada kerosakan.

Jika boleh ditukar, ia tidak jadi masalah. Tapi bagaimana dengan barangan yang tidak boleh ditukar atau dikembalikan selepas pembayaran?

Situasi ini pastinya sa­ngat merugikan bukan? Oleh itu, walau bagaimanapun keterujaan anda melihat potongan harga yang cukup tinggi, teliti kualiti barang yang dibeli sebaik­nya. Jangan nanti menyesal pada kemudian hari.

Bayar guna wang tunai

Dalam apa juga keadaan, adalah lebih baik anda melakukan pembayaran secara tunai ketika membeli-belah.

Ia bukan saja memudahkan tetapi memboleh­kan anda mengetahui jumlah sebenar perbelanjaan anda.

Elakkan penggunaan kad kredit

Cuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan kad kredit dalam berbelanja ketika musim jualan murah.

Memang betul anda boleh memiliki apa juga barang yang menawarkan potongan harga tinggi dengan membayarnya menggunakan kad kredit.

Ketika itu anda akan berasa puas, seronok dan gembira kerana apa yang diinginkan sudah menjadi hak milik.

Tetapi bagaimana de­ngan hutang kad kredit anda? Adakah anda akan gembira saat melihat bilnya nanti?

Justeru, elak menggunakan kad kredit ketika membeli-belah terutama pada musim jualan murah ini supaya anda tidak terbeban dengan hutang yang banyak dan mengambil masa lama untuk diselesaikan.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive