UtusanDaily

Saturday 2 November 2013

Dato' Rahim Razali Selamat Jalani Pembedahan

rahim
Sebelum ini, Media Hiburan Online ada menyiarkan berita pelakon dan pengarah, Dato' Rahim Razali yang dimasukkan ke hospital akibat pendarahan di otaknya. Khabar terbaru menyebut, Rahim kini telah selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 8 pagi tadi di Pusat Perubatan Sunway, Petaling jaya.
 
"Alhamdulillah, ayah telah selamat menjalani pembedahan dan ia mengambil proses selama sejam lebih. Dia kini ditempatkan di High Dependency Unit (HDU)," ujar anak kepada pengarah filem 'Abang' ini, Nadia, seperti yang dipetik daripada sebuah portal berita.  
 
Sebelum ini, Rahim telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit kepala ketika menjalani penggambaran rancangan sukan terbitan Astro Arena di Kuantan, Pahang. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan pembuluh darah di bahagian kepalanya pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak.

Micheal Jackson Selebriti Meninggal Dunia Terkaya

michael

Walaupun telah meninggal dunia, legasi Raja pop, Micheal Jackson tetap dihargai peminat seluruh dunia apabila disenaraikan sebagai selebriti meninggal dunia berpendapatan tertinggi untuk tahun ini. 
 
Lebih menarik dengan kekayaan sebanyak USD160 juta, jumlah itu melepasi pendapatan yang dikaut oleh selebriti yang masih hidup seperti Madonna yang berpendapatan sebanyak USD125 juta. 
 
Difahamkan, sebahagian besar jumlah ini disumbangkan menerusi pementasan Cirque du Soleil - Immortal yang mengutip sebanyak USD300 juta sejak dipentaskan tahun lalu. 
 
Menduduki tempat kedua adalah Elvis Presley dengan pendapatan sebanyak USD55 juta dan seterusnya ketiga miliki Elizabeth Taylor yang menduduki tempat pertama tahun lalu.

Friday 1 November 2013

Doktor Termuda Guinness World Records seorang Muslim..


Perdana Menteri Ismail Haniyeh telah menganugerahkan pelarian Palestin, Eqbal Asa'd sebagai doktor paling muda di dunia.

Perdana Menteri Ismail Haniyeh telah menganugerahkan pelarian Palestin, Eqbal Asa'd sebagai doktor paling muda di dunia. Pejabat Perdana Menteri mengesahkan bahawa Haniyeh telah menjemput Asa'd, 20, dan mengucapkan tahniah kepada beliau diatas kecemerlangan beliau.

Guinness World Records merekodkan pencapaian ini satu rekod dunia bagi pelajar perubatan termuda di dunia dan doktor paling muda di dunia. Eqbal Asa'd, 20, pelarian Palestin yang tinggal di sebuah kem pelarian Palestin di Lubnan, mendaftar di Weil Cornell Medical Collage di Qatar apabila dia hanya berusia 14 tahun. Pada usia 20 tahun, dia mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan dengan kepujian.

Thursday 31 October 2013

Faizal Ismail: Bukan kerana tawaran lumayan


Faizal Ismail  
Faizal Ismail

"SAYA letak jawatan bukan kerana tawaran lumayan daripada stesen radio lain!" tegas penyampai radio popular, Hot FM, Faizal Ismail, berhubung isu letak jawatan pada 24 Oktober lalu, menerusi laman sosial miliknya.

Menerusi sidang media semalam, di Restaurant Marche, The Curve, Faizal yang lebih mesra dengan panggilan FBI tampil merungkai spekulasi mengenai tindakannya itu.

"Tindakan ini dibuat bukan kerana saya lebih tertarik dengan tawaran stesen radio lain atau mempunyai masalah dengan Hot FM.

"Dalam masa terdekat ini, saya tidak akan terima sebarang tawaran bekerja dengan stesen radio lain. Jadi, spekulasi mengenai peletakan jawatan saya kerana ingin beralih angin adalah tidak benar.

"Saya berhenti kerana ingin urus perniagaan sendiri. Malah, perkara ini telah saya bincang bersama isteri yang juga penasihat saya sejak dua tahun lalu," katanya yang masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini.

Tambah Faizal, selepas tarikh itu, dia masih lagi bersama radio tersebut secara sambilan menerusi segmen khas.

"Saya masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini. Selepas itu, saya akan sambung secara 'part time' sahaja, mungkin di segmen hujung minggu, Sabtu atau Ahad.

"Pada 24 Oktober lalu,  notis peletakan jawatan itu, namun saya perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh stesen radio.

"Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, mereka menerima permohonan saya," katanya yang menggalas tugas sebagai penyampai radio berkenaan hampir tujuh tahun.

 Sukar urus masa

Baru sahaja menubuhkan syarikat miliknya, FBI Entertainment Sdn Bhd, sejak dua bulan lalu, akui Faizal, agak sukar untuk menguruskan pelbagai perkara dalam satu masa.

"Pada awalnya, saya cuba untuk bahagi masa sebaik mungkin untuk urus syarikat dan kerjaya. Namun, saya gagal beri komitmen yang baik untuk kedua-duanya.

"Jadi, saya perlu korbankan karier saya. Walaupun berat hati, saya terpaksa demi masa depan keluarga. Sejujurnya, saya memang sayangkan karier ini kerana saya bermula dari bawah dan melalui peringkat demi peringkat sehingga berjaya sampai ke tahap ini.

"Namun, sampai bila saya mahu berada di konti? Saya percaya, populariti kini tidak jamin (kekal populariti) untuk lima tahun yang akan datang. Saya tidak mahu terus terperangkap dalam kepompong ini sehingga sukar untuk pilih cabang lain," katanya yang menghargai setiap pengalaman yang diperoleh bersama radio itu.

Katanya, selama 15 tahun dalam bidang ini, dia berhasrat untuk melakukan perubahan dalam perjalanan kariernya.

"Saya tidak boleh sentiasa berada di zon selesa kerana sampai pada satu tahap, kita memerlukan pembaharuan.

"Saya perlu cuba bidang lain dan mencabar diri saya untuk urus perniagaan," katanya yang pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama 6 tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP).

Tambah Faizal, walaupun syarikatnya masih baru, tetapi ia menunjukkan perkembangan membanggakan.

"Alhamdulillah, ada dalam kalangan rakan saya bersedia untuk bekerja bersama dan mereka menunjukkan komitmen yang baik.

"Menerusi syarikat itu, kami akan terlibat dalam pengurusan majlis, produksi televisyen. Malah, saya juga berhasrat untuk kembangkannya sebagai platform untuk penghasilan drama," katanya yang masih lagi terlibat dengan program pengacaraan televisyen.


Tiada pengganti?

Menurut Pengarah Rangkaian Hot FM, Seelan Paul, mengakui peletakan jawatan Faizal adalah satu kehilangan besar buat radio itu.

Katanya, populariti Faizal sepanjang berada di radio itu banyak memberi keuntungan dan kepentingan kepada syarikat.

"Faizal adalah salah seorang penyampai radio yang memainkan peranan penting dalam peningkatan rating pendengar. Malah, ia adalah satu kehilangan besar buat kami.

"Mana tidaknya, sehingga kini, dia mempunyai kelompok peminat tersendiri termasuk 500,000 pengikut di laman sosial.

"Malah, sehingga kini, kami masih tidak jumpa pengganti yang layak untuk menggantikan Faizal. Mungkin kami akan ambil masa selama sebulan dua untuk mencarinya. Sepanjang ketiadaan Faizal, AG dan Fara Fauzana akan menggantikannya," katanya lagi.

Bahaya Membunuh Lipas di Rumah


BAHAYA MEMBUNUH LIPAS Bila anda melihat binatang lipas di rumah, jangan anda memukulnya sampai mati kera isi perut lipas sangat bahaya. 

Dalam perut Lipas terdapat cacing halus/lembut yg akan hidup meskipun diluar dari tubuh lipas. Bila cacing ini sudah berada di luar dari tubuh lipas (perut) dia akan bergerak untuk mencari tempat baru. 

Cacing ini bentuknya sangat pendek, halus dan lembut akan terlihat pada mata kasar bila jarak pandang sekitar 10-20cm. Cara nak tengok lipas ni, letak isi perut lipas di atas kertas hitam atau cermin.. Nanti cacing perut lipas akan bergerak2. 

Sangat berbahaya apabila cacing ini sampai menyentuh kulit tubuh kita (terutama kaki) karena dapat masuk melalui pori-pori kulit atau bila ada luka terbuka pada kulit luar.

Wednesday 30 October 2013

Dato' Rahim Razali Alami Pendarahan Otak

rahim

Pelakon dan pengarah terkenal, Dato' Rahim Razali telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Sunway selepas mengalami kesakitan sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama di Kuantan.
 
Khabar terbaru memaklumkan pelakon ini perlu menjalani pembedahan segera selepas doktor mengesahkan pembuluh darah di bahagian kepalanya pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak.
 
Rahim dijadualkan menjalani pembedahan akibat penyakit berkenaan pada Rabu atau Khamis ini. Sebelum itu, pengarah filem 'Abang' ini telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sebelum dipindahkan ke wad biasa sejak semalam. 
 
Media Hiburan Online mengharapkan agar Dato' Rahim cepat sembuh dan kembali mewarnai industri hiburan negara. 

'Fizo cinta pertama saya'

AQMAR MUSTAZA

Fizo Omar

"FIZO adalah cinta pertama saya dan sebelum ini saya tidak pernah bercinta kerana begitu dijaga oleh keluarga," akui bakal isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim,24, kepada media.

Sebelum itu, pelakon kacak, Fizo Omar atau sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, melamar bakal isterinya dalam suasana penuh romantis di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Mengakui agak terkejut dengan majlis itu Mawar berkata, Fizo mengajaknya menonton wayang sebelum menghadiri sidang media yang dikatakan akan diadakan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, dia dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila muncul babak lakonan Fizo bersama pelakon cilik, Mia Sara di layar dan turut melibatkan ibunya juga.

"Fizo kata petang nanti (semalam) ada sidang media untuk umumkan tarikh perkahwinan kami dan dia ajak saya menonton wayang terlebih dahulu.

"Memang pelik dan terdetik juga, 'biar betul dia ni', tapi saya ikutkan sahaja. Malah selepas masuk dalam pawagam dan dia minta izin untuk ke tandas, saya masih tidak rasa apa-apa sehinggalah muncul video tersebut baharu saya rasa sesuatu," katanya.

Berkongsi kejutan yang dibuat untuk Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia jugalah yang mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu.

Katanya, ia adalah sebagai satu tanda ingatan mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Saya pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.

"Malah,  ia juga berkisar mengenai perjalanan hidup kami dan lega rasanya apabila rancangan ini menjadi kerana bimbang juga jika 'terkantoi'," katanya.

Fizo berkata, dia yakin Mawar akan berkata 'ya' dan perkara itu turut diakui oleh Mawar sendiri :

"Sudah tentu saya kata 'ya' kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya," jelasnya.


Kahwin dua minggu lagi

Dalam pada itu, Fizo juga turut mengumumkan akan mengikat tali pertunangan pada 9 November depan diikuti dengan majlis pernikahan mereka pada keesokan harinya, iaitu pada 10 November depan.

Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kediaman Mawar di Country Heights, Kajang dan disiarkan secara langsung di TV9 menerusi 'Nasi Lemak Kopi O'.

"Kedua-dua majlis akan disiarkan secara langsung menerusi rancangan Nasi lemak Kopi O di TV9. Malah pada majlis pertunangan itu nanti akan ada sedikit kejutan manakala majlis pernikahan akan berjalan seperti biasa," katanya.

Fizo berkata, mereka mengambil keputusan bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu.

Tambahnya, selepas majlis pertunangan pada sebelah pagi, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malam yang akan dihadiri sanak saudara Mawar sahaja.

"Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya," katanya.


Bisnes 'burgedung'

Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen.

"Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan," jelasnya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, beberapa perancangan perniagaan sudah dibuat selepas mereka berkahwin nanti.

"Selepas berkahwin, kami akan terlibat dengan perniagaan 'burgedung' (ketawa), campuran perniagaan burger dan tudung.

"Seperti sedia maklum saya kini menguruskan perniagaan burger yang sudah mempunyai 50 cawangan di Kuala Lumpur dan Kelantan. Saya merancang meluaskan perniagaan ini ke Johor selepas berkahwin.

"Jadi saya sarankan pada Mawar  buka ibu pejabat di Johor dan Kelantan selepas ini kerana hanya di dua negeri itu sahaja tiada ibu pejabat Fareeda. Jadi bila saya ke Johor melihat perniagaan saya, Mawar juga boleh jenguk syarikat dia.

"Sebab itulah saya pilih Mawar kerana kami sama-sama minat dalam  perniagaan. Bagaimanapun selepas berkahwin, saya tetap akan aktif dengan dunia seni kerana itu minat utama saya," katanya.

Tuesday 29 October 2013

Bapak Mentua dituduh peluk dan cium leher menantu

Cabul menantu: Mengaku tidak bersalah

Cabul menantu: Mengaku tidak bersalah  
Abdul Kasim (kanan) selepas membayar ikat jamin di Mahkamah Majistret, semalam.

TAMPIN –  Ketua Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Tampin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, dekat sini, atas tuduhan mencabul kehormatan menantunya di sebuah rumah di tanah rancangan Jelai, dekat sini, 22 September lalu.

Tertuduh, Abdul Kasim Akb Maiden, 52, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan atas tuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul menantunya berusia 20-an kira-kira 8.30 pagi di rumah tertuduh dengan memeluk mangsa dari belakang dan mencium leher kanan dan kiri mangsa.

Majistret Mahyun Yusof menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Mohd Eswady Mat Lajis menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesalahan tertuduh, bagaimanapun dikurangkan selepas tertuduh membuat rayuan susulan mempunyai banyak tanggungan.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripadanya.

Rosyam Nor: Dua tahun saya tak dipandang

AQMAR MUSTAZA


Rosyam Nor
Rosyam Nor

NAMA Rosyam Nor suatu ketika dulu sememangnya cukup gah dan berada dalam kelas yang tersendiri sebagai hero drama mahupun filem di Malaysia.

Namun seiring dengan kehadiran pelakon baru dalam industri seni, nama Rosyam yang kini sudah bergelar Datuk, mula tenggelam dengan populariti pelakon seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

Akui pemilik Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini, dia pernah melalui satu fasa yang perit apabila ada pihak seolah-olah menidakkan kehadirannya dalam industri seni sehingga dia terpaksa 'berehat' dari industri seni selama dua tahun.

"Secara peribadi sebagai seorang pelakon, saya tidak mahu berhenti di tengah jalan dan saya mahu bawa nama Rosyam Nor ditahap yang tinggi.

"Tetapi sejak dua tahun lalu saya tidak dipandang sehingga saya terpaksa ambil keputusan untuk berehat bagi mencari sebuah karya yang baru untuk saya.

"Kini, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Datuk Yusof Haslam dan Syamsul yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak Tailong.

"Watak itu ibarat permulaan baru untuk saya dan saya akui selepas menjayakan watak tersebut, barulah saya dipandang semula," ujarnya kepada Zass.

Sememangnya harus diakui, biarpun sudah berusia 46 tahun, ternyata Rosyam masih berbisa dalam menjayakan watak antagonis dan aksi dalam filem KL Gangster 2.

"Saya akui menemui rentak lakonan semula selepas membintangi KL Gangster 2 dan  ternyata bukan usia seseorang pelakon itu yang menjadi ukuran untuk menjayakan sesuatu watak.

"Saya juga mahu membuktikan kesangsian sesetengah pihak yang merasakan pemilihan saya untuk membintangi filem tersebut adalah silap. Apatah lagi walaupun watak itu jahat, ia menjadi satu watak popular dan disukai.

"Sebenarnya apa yang penting adalah kredibiliti seseorang pelakon itu dan saya anggap watak Tailong itu adalah kejayaan peribadi saya. Selain itu secara tidak langsung ia memberi laluan kepada pelakon seangkatan saya untuk kembali menyinar," katanya.

Menurut Rosyam, selepas membintangi filem tersebut, dia mula menerima banyak tawaran lakonan, namun terpaksa menolak kerana kekangan waktu dan watak yang diberikan.

"Saya bukan mahu mendabik dada kerana banyak menolak tawaran filem kerana sebenarnya apa yang penting adalah siapa karyawan di belakang saya; siapa pengarah, krew, penulis skripnya.

"Ini kerana saya tidak pernah menganggap diri saya hebat kerana yang hebat sebenarnya adalah karyawan ini kerana mereka yang membentuk diri saya.

"Jadi saya tidak boleh gelojoh dan cari sesuatu yang baik dan terima tawaran dengan perbincangan yang terperinci," katanya.

Di tebak mengenai watak yang barangkali menjadi idamannya, Rosyam berkata, soal watak bukan lagi keutamaan baginya.

"Saya impikan watak yang boleh mencabar kredibiliti saya, yang membuatkan saya takut kerana saya boleh buat yang terbaik atau tidak," katanya.


Tailong jadi ikutan

Dalam pada itu, Zass turut mendengar desas-desus bahawa watak Tailong kini menjadi ikutan beberapa pelajar sekolah sama seperti watak Sharnaaz sebagai Lan Todak dalam filem Juvana baru-baru.

Di tebak mengenai penularan tersebut, Rosyam berkata, dia berharap pelajar kini lebih bijak dan tidak terikut dengan sisi jahat lakonannya sebaliknya mengikut sisi yang lebih positif.

"Ingin saya jelaskan watak Tailong adalah imaginasi pengarah untuk watak antagonis dan apa yang Tailong buat sememangnya salah dari sudut agama, keselamatan. Malah pada penghujung cerita juga penonton dapat melihat Tailong sudah menerima pembalasan di atas perbuatannya.

"Jadi pada sesiapa yang meminati watak Tailong, saya berharap mereka mengikut cara yang lebih positif iaitu bagaimana saya berusaha dalam memastikan watak Tailong menjadi dan melihat bagaimana kredibiliti saya dalam menjayakan watak Tailong. Sama juga macam belajar, jika anda pelajar tercorot dalam kelas sekalipun jika anda berusaha bersungguh-sungguh tidak mustahil akan berjaya.

"Selain itu bagi mereka yang meminati bidang lakonan, anda mungkin boleh jadikan watak Tailong itu sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk berjaya sebagai pelakon," jelasnya.


Bersyukur dengan anugerah

Sementara itu, berkongsi perasaannya dikurniakan gelaran Datuk yang diterimanya sempena ulang tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Rosyam menganggap ia sebagai satu penghargaan kepada anak seni sepertinya.

Katanya, ia menganggap penganugerahan itu sebagai satu tanggungjawab besar kepada karier dan juga industri seni amnya.

"Saya amat bersyukur dengan penganugerahan itu dan ternyata ada orang yang menghargai anak seni seperti saya.

"Saya juga berharap anugerah ini akan memberi motivasi terutamanya golongan muda untuk berjaya kerana sebenarnya apa yang dilakukan pasti diambil kira," katanya.

Bagaimanapun dalam kegembiraan mendapat anugerah tersebut, masih ada yang mempertikaikan gelaran tersebut dan beranggapan golongan selebriti mudah mendapat gelaran Datuk.

Tidak melenting dengan pemikiran dan cakap-cakap belakang sesetengah pihak tersebut, jelas Rosyam bukan semua artis berpeluang mendapat gelaran tersebut.

"Kita ada berapa ribu artis tetapi hanya beberapa kerat sahaja yang dikurniakan gelaran Datuk. Tapi bagi saya ini adalah kenyataan yang orang seni perlu hadapi.

"Tak semua orang suka apa yang kita buat atau kita peroleh. Lagipun gelaran seperti ini bukan kami minta tetapi diberi.

"Malah bila ditolak pun orang mengata, menerima pun orang mengata," katanya.


Perancangan Rosyam

Berkongsi perancangannya selepas ini, Rosyam berkata, dia kini dalam rangka untuk membesarkan syarikatnya dan membuka RK Skrin yang akan menumpukan dalam penerbitan filem.

Katanya, tahun depan akan dua filem antaranya filem Balistik yang turut dibintangi Rita Rudaini dan Adi Putra, akan menemui penonton pada 9 Januari 2014.

"Bulan Disember ini saya akan ke Bangkok untuk siapkan Isyarat Cinta dan seterusnya akan buat perancangan untuk filem Jefrizal. Selain itu saya juga akan fokus dalam penerbitan drama," katanya.

Samun langgar belakang kereta

AHMAD ISMADI ISMAIL

Samun langgar belakang kereta
SEGELINTIR  individu mungkin pernah menjadi mangsa sekumpulan penjenayah yang sengaja melanggar belakang kereta mangsa.

Taktik ini bertujuan memperdayakan mangsa untuk memberhentikan dan keluar dari kereta sebelum menyamun.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Cassandra, 28, menceritakan semula detik cemas yang dialaminya. Ketika kejadian itu, dia berseorangan memandu kereta Toyota Vios dalam perjalanan pulang ke rumah pada jam 1.40 pagi.

Menurutnya, dia terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang kereta, lalu terus memberhentikan kenderaan.

"Dua lelaki bertubuh besar keluar dari sebuah kereta datang menghampiri kereta saya,  Mereka mengetuk cermin tingkap kereta sambil menyuruh saya keluar untuk berbincang mengenai kemalangan itu" katanya.

Cassandra berkata, dia kemudian membuka sedikit cermin tingkap kereta. Seorang daripada lelaki terbabit meminta maaf dengan memberitahu rakannya memandu dalam keadaan mabuk serta kereta yang dinaiki mereka turut mengalami masalah brek sehingga mengakibatkan kemalangan itu.

"Pada mulanya saya tidak mengesyaki kejadian itu bermotifkan rompakan sebaliknya menyangka ia kemalangan biasa. Tambahan pula lelaki itu memberi alasan mahu membayar ganti rugi," katanya.

Wanita itu berkata, tanpa disedari seorang lagi lelaki di dalam kereta yang dinaiki oleh dua lelaki itu, tiba-tiba menghampirinya dengan mengacukan parang.

"Akibat rompakan itu, saya kehilangan kamera digital, wang tunai RM500, malah kereta milik saya turut dilarikan penjenayah itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya menerima 49 kes penjenayah menggunakan modus operandi melanggar belakang kenderaan sebelum menyamun pemandunya sejak awal tahun ini sehingga Ogos lalu.

"Daripada kesemua jumlah itu, sebanyak 25 kes berlaku di daerah Brickfields, diikuti 16 kes di Cheras dan lapan kes di Sentul," katanya.

Laporan media

1. SHAH ALAM - Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang melanggar belakang kereta sebelum melarikan kenderaan mangsa setelah memberkas tujuh ahli kumpulan itu baru-baru ini.

Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 38 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Desa Mentari dan Ara Damansara, selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang kehilangan trak pikap Toyota Hilux dalam kes samun di Kelana Jaya.

Hasil siasatan ke atas semua suspek, polis menemukan dua buah kereta Proton Waja, sebuah kereta masing-masing jenis Nissan Teana dan Proton Putra yang dicuri.

Polis turut merampas beberapa peralatan dan senjata seperti parang, kayu golf, buku lima dan sarung tangan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan tersebut.

2. Kuala Lumpur- Sindiket samun bersenjatakan parang dan taktik langgar belakang kereta tumpas dengan penahanan sembilan ahlinya di sekitar ibu negara dalam dua serbuan polis.

Berikutan itu, polis berjaya menyelesaikan 20 kes samun harta benda serta lapan kereta bernilai RM600,000 yang dilaporkan hilang tetapi ditemui semula di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Penahanan sembilan suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun itu dilakukan dalam dua serbuan di dua hotel bajet di Off Jalan Kuchai Lama dan Desa Sri Hartamas.

Lima suspek yang ditahan didapati memiliki rekod jenayah lampau termasuk dua kes dikehendaki polis kerana jenayah samun dan dadah.

Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan lapan kereta iaitu jenis Honda CRV, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios, Toyota Unser, Proton Waja, Audi Q5 dan BMW X5 di beberapa kawasan awam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis kunci kereta, masing-masing satu pedang samurai, pisau, kikir, besi panjang, lapan unit penutup muka dan sebuah jam tangan.

Jenis kereta yang menjadi sasaran sindiket itu ialah Totoya Vios warna putih berikutan permintaan tinggi dalam pasaran gelap.

 
Tip pencegahan

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada agar tidak terpedaya dengan penjenayah yang sanggup melakukan pelbagai cara untuk melakukan jenayah. Mereka juga mampu melarikan kereta milik mangsa dalam sekelip mata.

1. Apabila berlaku kemalangan kenderaan dari bahagian belakang, jangan panik. Mangsa disarankan menghubungi saudara atau kenalan untuk bantuan.

2. Gunakan cermin pandang belakang dan sisi untuk meninjau keadaan kereta di belakang, terutamanya pemandu serta penumpang dalam kereta tersebut.

3. Cuba dapatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kereta tersebut. Ingat nama jalan dan terus pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

4. Jika kejadian itu berlaku pada waktu malam atau di kawasan yang terpencil, elak turun dari kereta.

5. Kerosakan kenderaan boleh ditampung oleh pihak insurans, namun keselamatan diri perlu diutamakan.

Akta/hukuman

1. Seksyen 379A Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

2. Seksyen 411 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta boleh didenda.

3. Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Gantung diri kerana Facebook

Facebook
MAHARASHTRA - INDIA. Gara-gara ditegah melayari laman Facebook, seorang remaja India nekad membunuh diri.

Jurucakap polis berkata, Aiswarya Dahiwal pelajar kolej tahun dua ditemui tergantung dalam biliknya selepas bertengkar dengan ibu bapanya.

"Sebelum gantung diri dia meninggalkan nota menyatakan tidak boleh tinggal di rumah yang menyekat kebebasannya bersosial menerusi Facebook," katanya dipetik DailyMail.

Difahamkan, sebelum kejadian, Dahiwal meminta kebenaran ibu untuk melayari laman web itu, tetapi ditegah kerana diminta fokus terhadap pelajaran dan mengurangkan perbualan telefon bersama rakan-rakannya.

Berdasarkan kaji selidik Wall Street Jurnal, hampir 92 peratus pelajar sekolah di India memilih Facebook untuk berkomunikasi berbanding membuat panggilan telefon.

Sunday 27 October 2013

Konsert "Lentera Timur: Datuk Siti Nurhaliza" cipta rekod kutip RM900 ribu

KUALA LUMPUR: Konsert "Lentera Timur: Datuk Siti Nurhaliza" pada September lalu telah mencipta rekod baru di Istana Budaya.

Mengutip RM900 ribu ia menjadi konsert artis solo terlaris dalam sejarah pentas berprestij itu.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Konsert Siti yang berlangsung selama empat malam itu mengatasi rekod yang dipegang oleh konsert Datuk Jamal Abdillah sebelum ini.

“Antara yang laris, konsert Yuna, Siti (Nurhaliza) memegang rekod, sejarah dengan kutipan RM900 ribu mengatasi konsert Jamal Abdillah. (Kumpulan) Wings mengutip RM 1 juta. (Siti) mengungguli konsert solo.” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun dua tajuk utama pementasan, "Tirai Merah" dan "Ombak Rindu" membatalkan pementasan tahun ini, Istana Budaya masih mampu mencatatkan kutipan yang baik setakat Oktober.

Malah, kejayaan teater "Maduku Kalut" juga mendorong Istana Budaya untuk mempersembahkan lebih banyak karya berskala kecil.

Pungutan di Istana Budaya juga dijangka akan meningkat dalam dua bulan ini dengan pementasan teater skala besar seperti muzikal "Supermokh".

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive