UtusanDaily

Tuesday 21 January 2014

Balistik kutip RM2.3 juta

FILEM Balistik berjaya mencatatkan kutipan RM2.3 juta selepas 10 hari berada di pawagam seluruh Malaysia.

Filem ini mendapat sambutan hangat daripada penonton walaupun ketika ini berlakunya kemerosotan hasil kutipan filem-filem tempatan.

Selaku penerbit filem ini, Datuk Rosyam Nor mengucapkan ribuan terima kasih kepada penonton yang menonton filem berkenaan.

"Saya dapati rata-rata penonton yang menonton filem ini berpuas hati dengan hasil kerja kami dan saya mengucapkan ribuan terima kasih, namun masih ramai peminat yang belum menonton kerana khuatir filem ini tidak dapat menambat hati mereka.

"Menerusi filem ini juga saya berharap ramai anggota polis yang menonton kerana tajuk balistik ini cukup sinonim dengan kehidupan anggota polis," katanya.

Mengenai masalah penurunan hasil kutipan filem Malaysia, Rosyam berpendapat lambakan filem yang tidak berkualiti juga merupakan salah satu faktor berlakunya masalah ini.

"Saya akui kita menghadapi situasi sukar dalam industri perfileman, namun setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

"Dan saya selaku salah seorang penggiat filem ini berpendapat cara terbaik adalah dengan memenangi hati penonton untuk terus menonton filem tempatan.

"Apabila kita mampu memenuhi cita rasa penonton, sekali gus berjaya menarik kembali hati-hati yang telah 'merajuk' untuk menonton di pawagam," katanya.

Ditanya adakah filem tersebut akan ditayangkan di kaca TV dalam masa terdekat, Rosyam berkata: "Filem ini tidak akan ditayangkan secara eksklusif di mana-mana stesen TV dalam masa terdekat.

"Oleh itu peminat yang masih belum menonton disarankan pergi ke pawagam terdekat untuk merasai sendiri kepuasan filem aksi ini.

"Tayangan filem ini masih diteruskan bergantung kepada hasil kutipan tiket dan sambutan peminat filem tempatan, "katanya.

Masih mengekalkan genre gengsterisme, namun bukan hanya mengetengahkan aksi semata-mata tetapi banyak memberikan pengajaran kepada penonton seperti nilai kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan.

Filem yang dibikin dengan kos sebanyak RM2.5 juta ini membariskan pelakon hebat tanah air seperti Rosyam sendiri, Adi Putra, Rita Rudaini, Jack Lim, Raykarl Iskandar dan Datuk Rahim Razali, Mei Yan dan ramai lagi.

Balistik mengisahkan perjalanan hidup seorang lelaki bernama Saga (Datuk Rosayam Nor) yang bekerja sebagai pembunuh upahan. Dia juga merupakan suami kepada Salina (Rita Rudaini) dan mempunyai seorang anak lelaki, Rykarl (Rykarl Iskandar).

Disebabkan kegiatan yang dilakukan Saga membuatkan kehidupannya berisiko tinggi dan memberi ancaman kepada keluarganya, Saga telah berpisah dengan Salina tetapi membawa Rykarl bersamanya.

Selepas enam tahun berlalu, Saga telah membina empayar yang besar dalam dunia gengsterisme bersama temannya, Jack (Jack Lim).

Setelah sekian lama, Salina kembali muncul dalam hidup Rykarl dan Saga. Namun, pada ketika itu, Salina sudah pun berkahwin dengan Nizam (Ady Putra) yang merupakan rakan baik Saga di rumah anak yatim sewaktu kecil.

Saga dan Nizam tersepit dalam dua situasi, Nizam yang berdiri di landasan undang-undang dan Saga yang terpaksa menurut arahan ketuanya untuk membunuh rakan baiknya, Nizam.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive