UtusanDaily

Friday 17 January 2014

IKAN kurangkan risiko kematian

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Eksport bagi ikan dan makanan laut negara dijangka berganda berikutan pertumbuhan tahunan yang stabil dalam industri akuakultur.

Biarpun terdapat pening­katan dalam permintaan, industri berkenaan berdepan cabaran besar terutama risiko kematian ikan yang diternak dalam kolam.

Sebagai pemain industri, Perbadanan Johor Bioteknologi dan Biodiversiti (J-BioTech) berdepan masalah kematian ikan menerusi kolam ternakan di negeri itu.

Sistem Akuakultur Kitar Semula Air (RAS) ketika ini kurang membantu menyelamatkan bilangan Ikan Kerapu Tikus diternak.

Sistem RAS secara manual masih mempunyai kelemahan berbanding penggunaan sistem automatik yang diadaptasi menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perkomputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, menemui formula menyelesaikan masalah itu.

Kawalan kualiti air dan pemantauan dalam sistem akuakultur (IKAN), dihasilkan Prof Madya Dr Kamalrulnizam Abu Bakar sejak 2011.

Uniknya, sistem ini meng­gunakan sistem tanpa wayar bagi bekalan kuasa dan komunikasi.

Dr Kamalrulnizam dibantu lima penyelidik lain yang juga siswa ijazah sarjana fakulti berkenaan iaitu Herman Edi Saputra, Oon Erixno, Yoanda Alim Syahbana, Muhammad Gary Sharer dan Farah Ramadhani.

Projek itu dibiayai meng­gunakan dana Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) Kementerian Pendidikan berjumlah RM300,000.

Katanya, sistem IKAN adalah lanjutan kepada sistem RAS.

“Sistem ini untuk J-BioTech dan UTM berkolaborasi dengan perbadanan itu.

“Sistem ini dapat memeriksa suhu, kandungan aluminium dan saliniti air secara automatik.

“Ia penting untuk membolehkan air menyokong keseluruhan kehidupan ikan selain bergantung kepada keperluan,” katanya.

Ditanya bagaimana sistem IKAN berfungsi ­katanya, pertamanya ia akan
ke kolam yang tercatat ­nombor panggilan masuk (ID).

“Bila sampai kolam, ia akan masuk sensor dan akan mengambil beberapa saat untuk dapatkan bacaan.

“Maklumat dihantar ke NOC (komputer) sebelum arahan diberikan kepada penggerak untuk membuka injap berdasarkan keperluan.

“Selepas itu sekali lagi pemeriksaan dilakukan untuk menentukan sukatan sebenar,” katanya.

Menurutnya, sistem IKAN bergantung kepada keperluan ikan.

“Jika ikan kerapu tikus, kami akan melihat apa keperluannya.

“Jika keperluannya tidak mencukupi, sistem akan menambah secara automatik,” katanya.

Katanya, sistem IKAN mempunyai fungsi utama untuk mendapatkan keadaan ideal untuk ikan itu hidup.

“Bagi J-BioTech, ikan kerapu tikus dan ikan laut dalam yang diternak sangat sensitif. Sikit saja perubahan ia boleh mati.

“Ini tentu merugikan ­syarikat itu jika ikan diternak mengalami kematian apatah lagi induknya mencecah RM30,000 seekor,” katanya.

Menurutnya, sistem itu boleh diubahsuai dan meng­gunakan bateri yang
boleh dicaj semula atau tenaga solar.

Katanya, ­sistem itu terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu elektronik, penggerak dan penghantaran rangkaian.

“Jika bekalan elektrik terputus, ia masih boleh berfungsi dengan kuasa bateri atau tenaga solar,” katanya.

Produk ciptaan itu lebih murah berbanding di pasaran ketika ini bernilai RM200,000.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive