UtusanDaily

Saturday 18 January 2014

Ilmu itu cahaya, Islam galakan umatnya mencari

http://ikanmasteri.com/wp-content/uploads/2013/03/Menjemput-Cahaya.jpg
MELIHAT bait lirik di atas, pasti semua orang mahu menjadi insan yang berguna. Siapa yang mahu hatinya terus kosong tanpa diisi, terus-terusan dilihat jahil mengenai ilmu agama dan sebagainya. Sudah pasti kita mahu dilihat seorang yang tinggi ilmunya dan mampu berkongsi bersama orang lain.

Terapi jiwa

Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat ramai dalam kalangan masyarakat kita mula mencari peluang untuk mengikuti kelas pengajian agama. Di mana sahaja ada kuliah, jika ada masa terluang pasti akan diisi oleh mereka yang dahagakan ilmu agama.

Menurut mereka, ia adalah salah satu terapi untuk memenuhi jiwa-jiwa yang kosong setelah seharian bekerja. Ada yang mengikuti secara formal di kelas dan ada juga yang hanya hadir di kuliah anjuran masjid berdekatan.

Dalam kehidupan seharian kita di dunia ini, kita dituntut untuk mempelajari pelbagai ilmu untuk memakmurkan dunia dan dalam masa yang sama kita dituntut untuk meluruskan niat ketika menuntut ilmu hanya kerana ALLAH SWT.

Kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan mampu mengatasi kekuatan lain yang ada pada diri manusia jika ia digunakan dengan betul. Kedua-dua aspek ini perlu diberi keutamaan untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang maju bukan sahaja dari segi intelektual, malah dari sudut akhlak.

Budaya menuntut ilmu ini bermula sejak dari zaman Nabi Adam AS sehingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Ia adalah sebuah kesinambungan ilmu yang bermula sejak penciptaan Nabi ALLAH Adam sehingga kerasulan Baginda SAW dan diteruskan hingga kini. Peristiwa bersejarah penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’ juga adalah berkaitan dengan keilmuan.

Firman ALLAH bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena dan tulisan. Dia yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al’Alaq: 1-5)

Ayat di atas menjelaskan Islam menyeru umatnya supaya berilmu dan mementingkan ilmu. Sejarah membuktikan keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Umat yang mementingkan ilmu pasti akan bangkit sebagai umat yang terulung di mata dunia. Benarlah segala seruan ALLAH dan rasul-Nya ilmu sangat penting dalam kehidupan.

Tuntutlah ilmu

Islam menggalakkan setiap manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Tiada halangan dalam menuntut ilmu. Kebendaan, kewangan, masa ataupun perkara berbentuk fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk terus menuntut ilmu.

Hal ini kerana dalam agama Islam, menuntut ilmu adalah sebuah proses yang berterusan dan berpanjangan. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tertinggi. Ini menunjukkan bahawa ilmu mampu membawa seseorang yang tinggi di sisi ALLAH dan masyarakat.

ALLAH berfirman dalam yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu diminta untuk memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya ALLAH melapangkan (segala halnya) untuk kamu.

Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalanganmu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu kerjakan.” (Surah al Mujadalah: 11)

Masyarakat dahagakan ilmu

Berkesinambungan daripada tuntutan menuntut ilmu ini, Rumah Ngaji tampil dengan kuliah mingguan berlangsung pada 11 Januari lalu bertempat di Surau Karangkraf, ia disampaikan Dr Zaharuddin Abdul Rahman (Presiden Murshid).

Kehadiran yang mencecah 200 orang ini memberi gambaran masyarakat memerlukan pengajian-pengajian seperti ini yang mampu mereka adaptasi ke dalam kehidupan seharian.

Rumah Ngaji yang sebelum ini hadir dengan program-program seperti kelas pengajian al-Quran, kali ini tampil dengan kuliah pengajian kitab kontemporari karangan ulama tersohor dunia Islam yang disampaikan asatizah yang mahir dalam bidang masing-masing.

Rumah Ngaji berhasrat menyampaikan kepada masyarakat pelbagai ilmu yang berlandaskan al-Quran, sunnah dan hadis-hadis yang muktabar.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive