UtusanDaily

Saturday 1 March 2014

Anak lelaki pasangan yang dibicarakan di Sweden bingungkan pegawai penyiasat

Adam timbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan, bingungkan pegawai penyiasat

STOCKHOLM 28 Feb. - Anak lelaki kedua pasangan Malaysia yang sedang dibicarakan atas tuduhan mendera anak mereka di Sweden dilihat menimbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan selepas kanak-kanak itu memberikan gambaran yang membingungkan berhubung kejadian tersebut.

Adam, 12, dilihat cuba menggambarkan satu insiden sewaktu ibunya, Shalwati Nor Shal dikatakan telah memukulnya dengan penyangkut baju kerana tidak membasuh pakaian dengan betul.

Apabila diminta untuk menjelaskan kejadian tersebut, Adam tiba-tiba menimbulkan insiden abangnya, Ammar telah dipukul sebelum kembali menjawab soalan asal dan tiba-tiba menceritakan pula kejadian ketika dia telah sesat di dalam sebuah kompleks beli-belah.

Dalam rakaman temu bual, Adam yang disahkan mengalami kesukaran dalam pembelajaran dilihat bersusah payah menjawab setiap soalan yang ditanya, seringkali membongkokkan badannya dan mendiamkan diri buat beberapa ketika.

Dalam satu temu bual, Adam mendiamkan diri hampir empat minit sehingga menyebabkan mahkamah mempercepatkan rakaman tersebut.

Mengingati semula satu insiden membabitkan ibunya, Adam telah menggelar sarung tangan yang digunakan untuk memukulnya sebagai ‘mufin’ sebelum soal siasat selanjutnya mendapati ‘mufin’ ialah sebenarnya sarung tangan.

Perbicaraan membabitkan ibu bapanya, Shalwati dan Azizul Raheem Awaludin di Mahkamah Daerah Solna di sini hari ini memasuki hari keenam.

Dengan mendakwa bahawa Azizul Raheem yang juga merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Sweden telah memberitahu pegawai penyiasat bahawa ibu bapa Muslim dibenarkan memukul anak mereka sekiranya tidak bersolat, anggota polis wanita yang menemu bual Adam bertanyakan kepadanya sama ada dia pernah dipukul kerana tidak menunaikan kewajipan tersebut.

"Sekiranya kami tidak solat, ayah akan suruh kami bersolat bersamanya tetapi kalau dia dapati kami menipu (mengenai tidak bersolat), ayah kadang kala akan menjadi marah," kata Adam.

Ditanya apa yang akan berlaku apabila ayahnya marah, Adam menyatakan, ayahnya akan mula meninggikan suara terhadapnya dan adik-beradiknya yang lebih tua tetapi ‘bercakap lembut’ dengan adik bongsunya, Ariff.

Penemu bual tersebut kemudian bertanya mengenai perasaannya terpaksa bercakap dengan pihak polis, Adam memberitahu, dia berasa bosan.

"Tetapi hari ini saya gembira kerana telah memecah rekod dengan menghabiskan temu bual dengan cepat," ujar Adam dengan ceria menyebabkan Azizul Raheem tersenyum melihat anaknya itu tertawa.

Siri temu bual dengan Adam terpaksa dipendekkan selepas kanak-kanak itu keberatan untuk bercakap dan sering bertanya ‘berapa lama lagi’ dan ‘bila temu bual hendak habis’.

Ketika menuju ke penghujung satu temu bual, Adam dilihat meninggalkan bilik soal siasat dilakukan walaupun anggota polis wanita itu sedang bertanya kepadanya sama ada dia ada perkara yang hendak dibualkan.

"Tiada, tiada, tidak, tiada," kata Adam sambil berdiri.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Perbicaraan bersambung pada 3 Mac ini. - THE STAR

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140301/ma_03/Adam-timbulkan-lebih-banyak-soalan-berbanding-jawapan-bingungkan-pegawai-penyiasat#ixzz2ugzf5Zrj
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive