TEKA-teki kepada majlis pernikahan pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah akhirnya terjawab apabila ibu kepada aktor tersebut, Datin Patimah Ismail memaklumkan bahawa anaknya itu tetap akan meneruskan majlis pernikahan tersebut.

Terdahulu, ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa pernikahan ini mungkin ditunda dek kerana kesihatan Syamsul  yang terganggu kerana terkena demam denggi serta Syamsul kini yang masih berada di wad.

"Untuk esok, majlis pernikahan akan diteruskan seperti yang dirancang.

Kami akan membawa Syamsul menggunakan kerusi roda. Majlis nikah tidak boleh dibatalkan kerana borang nikah dan urusan Tok Kadi telah lama diatur.

"Selepas nikah, Syamsul perlu kembali ke hospital semula.  Jadi, untuk majlis resepsi pada sebelah malamnya, terpaksa ditunda. Ini satu keputusan yang berat daripada kedua-dua belah pihak. Tapi, saya puji sikap bakal besan saya yang cukup memahami.

"Ikutkan, Syamsul tidak mahu majlis ditunda kerana segala persiapan telah dilakukan, tapi memandangkan kondisi kesihatannya tidak mengizinkan, majlis terpaksa juga ditunda," ujar Patimah ketika dihubungi oleh sebuah portal hiburan, hari ini.

Tambah Patimah, keputusan menunda majlis persandingan sebelah pihak perempuan dibuat dua hari lalu selepas pertemuan enam mata antara kedua-dua pihak.

Ditanya tentang bila majlis resepsi tersebut akan dilangsungkan, beliau berkata pihaknya perlu menunggu selepas dua minggu lagi.

"Kita kena tunggu selepas dua minggu lagi.  Jika keadaan Syamsul betul-betul sembuh barulah kita akan cari tarikh baru," jelasnya.