UtusanDaily

Saturday 26 April 2014

Keramat Karpal vs kubur wali : Siapa yang telah ambil tugas Allah?

OLEH: XIFU NASER

SEMASA saya masih bergelar mahasiswa muda, saya menulis sebuah buku yang mengkritik mengenai seorang profesor.

Walaupun dalam buku tersebut telah saya berikan hujah-hujah ilmiah namun kritikan saya sangat beremosi dan telah merendah-rendahkan ketokohan profesor tersebut. Prof Ibrahim Zein, seorang tokoh Ilmuwan Islam dari Sudan membaca buku tersebut dan beliau memberi nasihat ini kepada saya:

"Jika kamu merendah-rendahkan pencabar kamu, maknanya kamu tidak sehebat mana pun kerana kamu hanya mampu mencabar yang lebih rendah daripada kamu!"

Saya membaca penulisan-penulisan di internet yang memperlihatkan segelintir orang Islam, termasuk personaliti-personaliti terkenal dalam dunia Islam Malaysia mencabar dan menghina jasad yang tidak lagi bernyawa!

Siapakah lebih hebat sebenarnya? Jasad tidak bernyawa ataupun lidah yang masih mampu menjelir-jelir?

Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan bukanlah seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama tetapi beliau lebih memahami Islam mengenai perkara ini.

Beliau telah mengkritik seorang tokoh agama dan menyuruhnya 'shut up' tatkala tokoh agama tersebut tersasul mengenai ayat yang boleh membawa makna bahawa ALLAH SWT mematikan Karpal Singh supaya hudud dapat dilaksanakan di Malaysia.

Lebih memburukkan keadaan, apabila tokoh ini menambah hujahnya dengan mengatakan bahawa teologinya tidak bertentangan dengan Islam kerana ALLAH SWT yang mematikan semua manusia.

Terdapat beberapa masyarakat awam yang memberi respons, "alhamdulillah, rahmat bagi umat Islam Malaysia untuk melaksanakan hudud!" dan banyak lagi.

Bagi saya, mungkin juga ALLAH SWT mematikan Karpal sebagai ujian bagi kamu untuk menguji sejauh mana kamu menjaga lidah kamu dan membongkarkan kejahilan diri sendiri!

Benar, jika kamu katakan bahawa ALLAH SWT yang mematikan semua manusia tetapi adakah teologi Islam membenarkan senario ini? Bayangkan jika saya membunuh anda, kemudian saya katakan bahawa, "ALLAH SWT yang mematikan semua!!!" Ayat kamu betul tetapi kamu telah menggunakannya dalam konteks yang salah.

Bukan saya tidak bersetuju dengan fatwa tentang RIP (Rest In Peace) yang diucapkan kepada yang telah meninggal, tetapi sudah terang lagi bersuluh bahawa hujah-hujah di sebalik fatwa ini menunjukkan para agamawan lebih cenderung untuk menghukum dan bukannya membetulkan kekeliruan yang sudah pasti akan tercetus tatkala sesuatu hukum dikeluarkan. Setiap hukum yang dikeluarkan perlu diambil kira maqasidnya serta impaknya kepada masyarakat yang dikatakan mudah keliru hatta dalam isu kalimah ALLAH sekalipun.

Hujah fatwa ini dapat mengelirukan umat Islam dan bukan Islam dengan mudah kerana mereka tidak memperbetulkan kekeliruan yang berleluasa dalam kalangan umat Islam sendiri dari dahulu hingga ke saat ini, iaitu hukuman syurga-neraka: terdapat segelintir daripada mereka yang menghukum Karpal atau mana-mana individu secara spesifik dan mengklasifikasikan mereka sebagai ahli neraka atau ahli syurga.

Perbuatan mereka ini seolah-olah menunjukkan tugas mutlak ALLAH SWT telah diambil alih oleh mereka. Di sini saya berikan satu contoh ayat dari fatwa RIP yang mudah untuk dimanipulasikan bagi tujuan yang salah kerana tiada penjelasan dinyatakan dalam fatwa.

"Dari sudut akidah Islam, seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan."

Ayat ini boleh disalahtafsirkan sebagai merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai Kad IC Islam!

Sedar atau tidak, hukuman ini juga berlaku dalam kalangan syeikh-syeikh tarikat. Mereka membawa pengikut-pengikut ke kubur yang dikatakan 'wali-wali' yang baharu meninggal pada zaman ini untuk bertabarruk dengan karamah wali-wali ini.

Hal ini seolah-olah menunjukkan syeikh-syeikh sudah menghukum bahawa jasad yang berada di dalam kubur ini sudah pasti mendapat rahmat daripada Tuhan dan ibadahnya tentu sudah diterima.

Persoalannya, bagaimana syeikh-syeikh ini mengetahui hal tersebut sebelum mereka sendiri dihisab di padang mahsyar? Adakah mereka Tuhan yang mampu mengetahui segala berlaku di alam ghaib?

Kubur Karpal Singh (jika jasadnya tidak dibakar) jelas tidak akan mengancam aqidah umat Islam. Yang mengancam aqidah umat Islam ialah kubur 'wali-wali' yang ditinggikan untuk syeikh-syeikh dan pengikut-pengikut mereka yang buta bertabarruk!

Jika seseorang individu mengkategorikan destinasi individu-individu yang lain seperti syurga dan neraka tanpa dalil wahyu, maka kita tanya mereka kembali, "adakah kamu sendiri pasti bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka?

Andainya dia sendiri ragu-ragu, maka katalah kepadanya, "kalau kamu sendiri tidak pasti akan nasib kamu, bagaimana pula kamu boleh pasti akan nasib orang lain?"

Kata-kata di bawah telah menarik diri saya untuk turut berkongsi bersama pembaca sekalian untuk direnungkan bersama.

"Kami hanya pendakwah, bukan penghukum." (Hassan al-Hudaibi, Murshid al-Ikhwan)

"Saya amat yakin, individu seperti beliau (Karpal Singh) jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud." (Tuan Guru Nik Aziz)

* Penulis ialah tokoh pendakwah Perak

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive