UtusanDaily

Wednesday 25 June 2014

Kidex: Khalid dulu bukan Khalid sekarang?

Shazni Munir Mohd Ithnin

http://mk-cdn.mkini.net/770/197a568aa1fd226e964afe2839674bb5.jpg
DALAM tulisan yang lalu, telah dinyatakan secara terperinci tentang latar belakang Kidex, hujah pihak yang menyokong dan pihak yang menentang serta beberapa persoalan berhubung projek mega di Pulau Pinang. Sebenarnya di Selangor terdapat beberapa isu tanah penduduk yang persis keadaan Kidex, iaitu projek Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan di negeri Selangor.

Salah satunya adalah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR). CAR merupakan projek pemasangan kabel bervoltan tinggi yang memakan jajaran pembinaan sejauh 59 kilometer. Dalam jajaran sejauh itu, projek mega ini telah meliputi sebuah kawasan kampung di Rawang iaitu Kampung Sungai Terentang dengan liputan seluas 1.5 kilometer.

Namun demikian, baki jarak sejauh 1.5 kilometer di Kampung Sungai Terentang tersebut – yang sepatutnya dimulakan pada 2007 – telah ditangguhkan setelah penduduk mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bantahan demi bantahan dikemukakan (termasuk daripada Kerajaan Selangor) sehingga menatijahkan keputusan penangguhan tersebut. Mungkin kerana tertekan dengan keputusan penangguhan tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui laporan Utusan Malaysia bertarikh 22 Julai 2011 telah berkata bahawa seluruh kawasan tengah Semenanjung Malaysia akan bergelap dan perkara ini berpotensi menjejaskan ekonomi negara jika projek CAR tidak diteruskan.

Namun jauh sebelum pergulatan isu ini hangat di media, pada 27 September 2008 – sebagaimana yang dilaporkan oleh media Bernama – MB Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) telah berkata bahawa Kerajaan Selangor 'tidak pernah menghalang' Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada meneruskan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Selain mengambil sikap 'tidak menghalang', beliau sempat menyatakan langkah-langkah yang harus dibuat oleh pemaju, cadangan yang sama sebagaimana Kidex ketika ini iaitu mengadakan beberapa perjumpaan dengan penduduk, keterlibatan konsultan bebas serta 'mengesyorkan' projek itu diteruskan dengan dua cara.

Dua cara yang dimaksudkan ialah menanam kabel bawah tanah agar ianya tidak langsung melibatkan pengambilalihan tanah seterusnya membolehkan penduduk kampung terus tinggal di kawasan itu atau laluan alternatif yang tidak melibatkan ramai penduduk.

Selepas September 2008, langkah-langkah yang dilihat 'menyusahkan' TNB itu terpaksa dipenuhi Kerajaan Persekutuan. Proses yang memenatkan TNB ini berlangsung dalam tempoh yang panjang dan Kerajaan Negeri kelihatan konsisten dengan mekanisme ini sekalipun pelbagai alasan yang dikemukakan pihak TNB.

Tekanan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini jelas dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar pada 22 Disember 2011 yang menyebut bahawa Kerajaan Selangor mengarahkan TNB untuk 'mempertimbangkan' pembinaan pencawang elektrik bagi Projek CAR di jajaran baharu iaitu di sepanjang Lebuhraya Persekutuan Rawang-Ipoh.

Keputusan tersebut diambil setelah pihak kerajaan negeri mendengar taklimat daripada syarikat perunding kerujuruteraan Aecom New Zealand yang menyebut jajaran baharu itu disyorkan atas faktor  kos yang paling minimum serta ketiadaan impak terhadap penduduk setempat.

Dan pada 31 Januari 2013, akhbar Selangorkini memaparkan kejayaan kerajaan negeri apabila pihak TNB akhirnya akur dengan 'syor' yang dibuat oleh kerajaan negeri agar dibuat jajaran lain untuk menjayakan Projek CAR.

Selain menyelamatkan Kampung Sungai Terentang yang didiami oleh 5,000 orang penduduk, keputusan ini juga sekaligus menyelamatkan Kampung Batu 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 16 Rawang serta beberapa bangunan-bangunan awam yang lain.

Samada ianya sebahagian daripada 'kebijaksanaan politik' yang cuba dibuktikan oleh Khalid Ibrahim atau helah bagi menundukkan pihak yang lebih besar supaya akur dengan 'syor' kerajaan negeri, hakikatnya kesemua trick itu selari dengan perkara yang diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara dan menepati Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Atas maksud pembinaan infrastruktur awam misalnya, kerajaan negeri tidak boleh menolak permohonan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih tanah. Malah, menurut Kanun Tanah Negara, pengambilan tanah demi kepentingan awam dibenarkan dan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri hanya dibenarkan dengan alasan yang sangat munasabah, mempertikai kuantum pampasan yang akan diterima oleh mereka yang terjejas akibat pengambilahan tanah atau mencadangkan jajaran alternatif menurut Akta Pengambilalihan Tanah.

Justeru langkah kerajaan negeri yang memberikan kenyataan awal seolah-olah bersetuju dan tidak menolak projek-projek Kerajaan Persekutuan sebenarnya perlu memandangkan skop bidang kuasa Kerajaan Persekutuan pada hakikatnya sangat luas dan hampir mutlak terutama hal ehwal yang melibatkan infrastruktur, kemudahan awam dan pembangunan secara umum yang mana kerajaan negeri hanya mempunyai peranan memberi nasihat.

Namun di pusingan kedua, kerajaan negeri dilihat menggunakan sepenuhnya 'kuasa' untuk mencadang jajaran alternatif sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pengambilalihan Tanah. Di sinilah yang menjadi bargain kerajaan negeri hingga Kerajaan Persekutuan akur dengan syor yang akhirnya akan memihak kepada rakyat.

Kita melihat kaedah sama yang sedang dipraktiskan kerajaan negeri terhadap Kidex. Namun asakan luar biasa daripada pimpinan Pakatan Rakyat terhadap kerajaan negeri khususnya MB Selangor dalam isu Kidex ini telah memberikan tanda tanya yang amat besar di ruang pemikiran khalayak.

Kaedah yang sama dan pattern penyelesaian yang hampir serupa sedang digerakkan oleh kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim dalam isu Kidex ini. Namun yang menghairankan, Kidex ini seakan menjadi punching bag terhadap dirinya, tidak seperti semasa Projek CAR sebelum ini yang sebahagian besar pendokong dan pemimpin Pakatan Rakyat berdiri di belakang beliau.

Tertanya-tanya juga, adakah Khalid semasa Kidex ini dan Khalid semasa Projek CAR di Kampung Sungai Terentang merupakan sosok yang berbeza? Atau memang sengaja diwujudkan skrip respons yang berlainan terhadap kedua-dua isu ini? Jika benar, siapa penulis skripnya?

Ah, penat menjebak konspirasi. Namun yang penting tanah dan hak rakyat akhirnya dimenangkan. Yang lurus akan menang, yang curang akan tewas. Manfaatkanlah ruang kepercayaan untuk beri yang terbaik kepada rakyat. Usah semakkan kepala kusut rakyat dengan hanya polemik 'nak jadi YB', 'nak jadi Exco' atau 'nak jadi MB' semata-mata. Hidup rakyat!

 
Shazni Munir Mohd Ithnin
Koordinator Gabungan Tanah Rakyat (Tanah)

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive