UtusanDaily

Friday 15 August 2014

Belasungkawa Maidin Ibrahim (1938 - 2014): Terkenal lawak dialek utara

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Seorang demi seorang anak seni meninggalkan kita dan terbaru, kematian mengejut pelakon dan pelawak Maidin Ibrahim pada usia 76 tahun kelmarin sememangnya mengejutkan peminat.

Artis veteran ini meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menunaikan solat Zuhur di rumahnya di Kampung Pokok Tai, Pendang, Kedah.

Maidin atau mesra dengan panggilan Pak Tam atau Mamu yang dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang pada 1938 memulakan karier sebagai anak seni pada 1950 dengan menganggotai kumpulan boria di kampungnya.

Ketika era persembahan pentas popular di seluruh pelosok negara, namanya dikenali menerusi gandingan bersama pelawak Pie dengan gaya lawak dialek utara.

FotoKARAKTER Maidin di dalam dan luar filem disenangi ramai.

Gandingan Maidin dan Pie adalah antara duo komedi pentas paling mantap pernah dilahirkan sebelum kemunculan gabungan pelawak seperti Imuda dan Allahyarham Ahmad Busu, Jozan, Shiro dan Jambu.


Pembabitan Allahyarham bukan setakat itu kerana turut aktif membintangi banyak drama dan filem.

Dengan kelebihan menguasai dialek utara, Maidin memainkan peranan besar dalam filem berkaitan masyarakat India Muslim atau ‘anak mami’ yang tinggal di Pulau Pinang seperti Anak Mami The Movie, Nana Tanjung dan Mami Jarum Junior.

Filem genre komedi sememangnya amat dekat dengan Maidin dan dia akhirnya menerima penghargaan terbesar apabila menggondol anugerah Aktor Pembantu Terbaik menerusi drama Pinang Durian pada Anugerah Skrin 2001.

Selain berlakon drama dan filem, Maidin juga popular menerusi sitkom Salam Pantai Timur.

Sesuai dengan perwatakannya yang sentiasa ceria, arwah sememangnya disenangi oleh semua pihak kerana sering berlawak.

Justeru, berita kematian Maidin disambut dengan perasaan sedih oleh pelakon Kartina Aziz yang menganggapnya seperti abang sendiri.

“Kali terakhir kami berjumpa ialah ketika terbabit dalam sebuah program sebelum Ramadan lalu.

“Saya lihat dia macam kepenatan dan bertanyakan perkara itu. Arwah menjawab biasalah penat sikit-sikit, tapi dalam masa sama dia senang hati kerana duit yang diperoleh menerusi bidang ini digunakan untuk menyara keluarga dan beli rumah.

“Arwah juga pesan pada saya agar jangan membazir duit dan sentiasa berjimat cermat untuk masa depan. Saya tahu dia ada masalah jantung dan sering berulang-alik dari Kedah ke IJN (Institut Jantung Negara) Kuala Lumpur untuk buat pemeriksaan,” katanya.

Kartina berkata, Maidin suka bergurau, namun tanpa disangka gurauan mereka berdua sebelum ini membawa petanda tersendiri.

“Saya memang menangis apabila diberitahu dia sudah tiada kerana sebelum ini kami suka bergurau mengenai keadaan kulitnya.

“Kami bergambar bersama dan saya kata tak nampak dia kerana gelap. Dia jawab, ‘sat lagi hang tak nampak aku terus’. Tak sangka akhirnya ini tanda-tanda dia nak meninggal dunia.

“Selain itu, arwah juga selalu sebut, ‘orang lain semua sudah pergi. Aku pun mungkin tak lama lagi ikut jejak depa’,” katanya yang pernah bergandingan membuat persembahan pentas bersama Maidin.

Pengarah filem bertema anak Mami, Profesor A Razak Mohaideen turut mengakui terkejut menerima berita kematian Maidin.

Baginya, arwah seorang pelakon versatil dan kehilangannya sukar dicari ganti.

“Arwah mempunyai idea komedi yang tersendiri dan sering cari kelainan dalam karakternya. Paling utama, dia seorang yang berdisiplin dan komited dalam kariernya.

“Saya sebenarnya sudah merancang nak ambil dia berlakon drama Anak Mami Nasi Kandar yang akan jalani penggambaran bulan depan.

“Kebetulan saya dah lama tak hasilkan drama tema Anak Mami, jadi saya bercadang nak hasilkan semula.

“Bagaimanapun, apa boleh buat kerana kami tiada rezeki untuk bekerjasama buat kali terakhir.

“Yang saya tahu, Pie pun sedang sakit sekarang, tapi tak sangka Maidin yang terlebih dulu meninggalkan kita.

“Apapun projek ini akan diteruskan juga. Karakter ini memang dihasilkan untuk arwah, tapi saya kenalah pinda supaya sesuai dengan pelakon lain,” katanya yang mengakui bukan mudah mencari pelakon seperti Maidin.

Razak berkata, biarpun mempunyai karakter komedi, arwah ada sisi serius sekiranya bercakap berkenaan hal perniagaan dan keduniaan.

Namun dia sememangnya berupaya menghiburkan semua di lokasi biarpun penggambaran berlangsung pada tengah malam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Habirah Rahim, 59, empat anak perempuan dan seorang lelaki serta 13 cucu.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Sri Jerai, Gurun selepas solat Isyak malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive