KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.
   
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Datuk Ab Rahim Md Noor berkata kos pengurusan sisa pepejal termasuk makanan yang dibuang itu juga melibatkan kos berbilion ringgit.
   
Beliau berkata peratusan komposisi sisa makanan didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.
   
"Kalau kita lihat peratusan, sisa makanan adalah komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa pepejal, pada 45 peratus, malah kos perbelanjaan untuk pengurusan sisa-sisa pepejal di negeri-negeri bawah seliaan pihak kami telah mencecah RM1.6 bilion tahun lepas.
   
"Perkara ini amat membimbangkan saya dan dengan itu kami akan melancarkan Program Transformasi Minda dalam bulan Oktober untuk mengubah minda masyarakat supaya tidak membuang makanan sesuka hati," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara pengisian program itu adalah kerjasama pengusaha kedai makanan, hotel serta industri terlibat untuk menyumbangkan makanan lebihan mereka kepada mana-mana badan kebajikan yang memerlukan.
   
Ab Rahim berkata di samping memberi tumpuan dalam membendung masalah pembuangan makanan,  program itu juga bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera menjelang 2020.
   
Katanya, program itu juga diharap dapat membantu meningkatkan amalan 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) dalam pengurusan sisa pepejal sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli yang semakin terhad.
   
"Program ini juga akan mendidik orang ramai agar lebih prihatin tentang penjagaan alam sekitar, serta memandang serius isu (pembaziran makanan) ini," katanya. - Bernama