UtusanDaily

Thursday 25 September 2014

Skuad bola keranjang wanita Qatar menarik diri kerana isu hijab

Skuad bola keranjang wanita Qatar menarik diri daripada kejohanan di Sukan Asia di sini, pada saat-saat terakhir gara-gara peraturan yang melarang mereka memakai hijab ketika beraksi di gelanggang.

Pegawai dari Qatar berkata peraturan Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) yang melarang atlet wanita memakai tudung bermain sesungguhnya sudah bertentangan dengan prinsip Olimpik.

Hampir separuh daripada skuad Qatar memakai hijab dan mereka dijadualkan bertemu Mongolia dalam perlawanan kelayakan di sini, semalam.

"FIBA tak benarkan pemain kami yang bertudung untuk bermain. Jadi kami terpaksa menarik diri daripada kejohanan di sini," kata ketua jawatankuasa sukan wanita Qatar, Ahlam Al Mana.

"Apa yang berlaku hari ini adalah bertentangan dengan matlamat IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) yang bermaksud membabitkan negara daripada budaya berbeza dan juga slogan Sukan Asia di Incheon yang menyebut 'Diversity Shines here'."

Al Mana berkata Qatar sudah tahu akan larangan itu terlebih dahulu tetapi berharap dapat memujuk FIBA mengubah pendiriannya.

Dia menambah, pasukan dari negara lain yang terbabit dengan larangan itu tidak hadir pada temasya di Korea Selatan.

Tidak ada sebarang komen segera diperoleh daripada FIBA atau OCA. Bola sepak adalah antara sukan yang kini membenarkan atlet wanita memakai tudung mengikut agama berikutan perubahan peraturan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). - AFP

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive