UtusanDaily

Sunday 21 September 2014

Stesen televisyen jadi bakul sampah

oleh Siti Jarum
Facebook: siti.jarum9
siti_jarum2009@yahoo.com

Sejak akhir-akhir ini Siti melihat semakin banyak sampah yang dilonggokkan di stesen televisyen. Tak cukup sampah dari Filipina, Amerika Latin, Indonesia, sampah dari negara ini pun tidak kurang juga banyaknya. Sampah-sampah yang busuk inilah yang dihidangkan kepada penonton. Tak sepadan dengan kecanggihan peti televisyen yang sekarang bukan lagi rata atau nipis malah melengkung pula. Kualiti gambar dan bunyi jangan cakaplah. Tercanggih.

Tapi perkakas yang canggih ini hanya untuk menonton sampah yang bagi Siti bukan sahaja tak berguna malah mendatangkan bahaya. Ada yang tak sampah tapi sikit sangat. Yang bukan sampah ditonton untuk mempertajamkan rasa manusia, insaf dan menjadi penyuluh masa depan. Yang banyaknya sampah yang maha sampah. Sampah ini mereka namakan drama. Ada yang berangkai-rangkai panjangnya dilakonkan oleh artis-artis kita yang kacak dan jelita tapi sesetengah-nya sampah jugalah.

Baru-baru ini tercetus kontroversi ada syarikat (sebenarnya tauke dari Indonesia) mendapat peluang membuat 130 episod drama. Apa lagi kalau bukan sampah kerana syarikat induk dari Indonesia memang mengeksport drama sampah kepada stesen televisyen di negara ini. Drama-drama dari Filipina yang sebenarnya tak bernilai apa-apa pun telah dihidangkan kepada penonton tempatan. Siti tau banyak drama yang baik dari Filipina tapi apa nak buat, orang jual sampah kata permata, stesen televisyen kita pun percaya. Macam tak ada otak dan berfikir sikit tentang maruah sebagai orang yang menilai dan kepada masyarakat.

Sesetengah peneraju stesen televisyen memang mata duitan. Tak berperikemanusiaan. Tamak dan menindas masyarakat dengan memberikan santapan minda yang beracun. Kalau mereka berperikemanusiaan, Siti yakin drama-drama yang dilonggokkan tidaklah bertaraf sampah sarap. Drama itu pula kononnya diangkat daripada novel yang lebih kurang jugalah sampahnya.

Akhirnya mahu tidak mahu kita terpaksa kehebatan RTM dan TV3 pada zaman awal dulu. Walaupun drama tak banyak tapi tidak seperti sekarang. Siti cakap TV3 zaman awal dulu, TV3 sekarang sudah tak tau apa nak kata. Macam-macam sampah yang ditayangkan, asalkan dapat mencatat penonton tertinggi, belasah sajalah. Anak bangsa menjadi mangsa, peduli apa.

Walaupun zaman TV3 mula-mula dulu peti televisyen teknologi lama, kelabu dan tak secanggih sekarang tapi drama-drama yang kita tonton dari peti televisyen itu bernilai tinggi. Dramanya jauh berkali ganda dibandingkan dengan sebahagian besar filem kita sekarang. Tapi itu dulu. Sekarang TV3 dengan agenda duitannya, nak kata tak ada pemikir berlambak pemikir di TV3. Cuma tak mahu fikir atau malas nak fikir.

Banyak saluran di Astro juga dua kali lima. Malah lebih teruk. Program lawak dan pencarian bakat tidak menyumbang kepada pembangunan manusia. Di Astro semuanya hendak disantaikan, tapi malangnya program lawak yang sepatutnya santai pun jadi tragis. Tragis mengenangkan penonton terutama Melayu diperbodohkan. Sedih mengenangkan orang Melayu, apa sahaja disuap semua dikunyah.

Siti yakin kalau pengagum Maharaja Lawak dengan segala lawak-lawaknya lagi, peminat sekian banyak drama busuk - jangan cakap tentang generasi masa depan. Kerosakan telah dilakukan dengan pesatnya oleh stesen televisyen dan inilah generasi yang akan memacu negara pada masa depan. Bolehkah kita nak harapkan peminat Akademi Fantasia, Mentor dan macam-macam lagi yang sebenarnya tak bermacam-macam pun (satu bentuk saja) untuk memajukan negara pada masa depan?

Sepatutnya dalam keadaan sebahagian besar orang Melayu yang sangat malas membaca bahan-bahan serius, siaran televisyen adalah satu-satunya santapan minda terutama menerusi drama dan hiburan. Sebelum ini Siti membayangkan biarlah orang Melayu malas membaca, tapi menonton bahan siaran yang mampu membawa mereka berfikir tentang hidup dan masa depan. Nampaknya hanya sia-sia, sudahlah malas membaca, menonton pula bahan yang bertaraf sampah. Di mana kita selepas 2020 nanti? Cubalah fikir wahai anak muda Melayu.

SITI JARUM: Harap ada yang marah. Apabila marah, mereka menyoal diri.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140921/re_13/Stesen-televisyen-jadi-bakul-sampah#ixzz3DwLjRP77
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive