Hazzirah Izzati bersama sijil yang diterima daripada Malaysia Book of Records dan UTM.  
Hazzirah Izzati bersama sijil yang diterima daripada Malaysia Book of Records dan UTM.

SKUDAI – Selepas empat tahun mengharungi pelbagai rintangan, Hazzirah Izzati Mat Hashim, 24, boleh tersenyum lebar apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Matematik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Lebih membanggakan, kejayaan penyelidik muda di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains UTM itu membolehkannya muncul sebagai penerima termuda ijazah kedoktoran dalam negara dan institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan sekali gus melayakkannya menerima sijil Malaysia Book Of Records.

Hazzirah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, tidak pernah menyangka akan menerima gelaran itu pada usia berkenaan, namun gembira dengan pencapaian paling membanggakan dalam hidup kerana peluang diberi digunakan sebaik mungkin.

Anak kedua daripada lapan adik beradik itu berpegang pada prinsip berani dan tidak mudah berputus asa, menganggap ia adalah kunci kejayaannya sehingga ke peringkat berkenaan selain menjadikan pakar penyelidik dari luar negara sebagai rujukan bagi menambah maklumat sepanjang tempoh pengajiannya.

“Bidang matematik tulen yang saya pilih ini belum berkembang luas dalam negara menyebabkan rujukan pakar di sini agak terbatas.

"Alhamdulillah saya mendapat bantuan daripada penyelia yang memperkenalkan penyelidik luar negara yang dihubungi menerusi emel.

“Tetapi, kalau kita dapat belajar secara berhadapan mungkin lebih mudah. Namun, itu saya anggap sebagai cabaran walaupun ada ketika saya hampir putus asa. Tetapi sokongan keluarga yang memberi sepenuh kepercayaan membuatkan saya bersemangat.

“Namun, saya tidak pernah merancang untuk menerima PhD pada umur begini, tetapi apa sahaja peluang yang diberi, saya akan sedaya upaya merealisasikannya,” katanya di Bangunan Canselori UTM, di sini, semalam.

Beliau yang baru mendirikan rumah tangga pada 13 September lalu bersama pasangannya Muhamad Najib Zakaria, 26, bercita-cita menyambung impiannya menjadi seorang pensyarah dengan berkhidmat di IPT tersebut supaya dapat melahirkan lebih ramai lagi pemegang PhD di kalangan mahasiswa serta mahasiswi.

“Saya mendaftar ke sini (UTM) pada usia 18 tahun dan UTM banyak mendewasakan saya menjadi seorang yang berilmu. Saya telah menghantar permohonan di beberapa universiti dan sekiranya ditawarkan menjadi pensyarah, UTM adalah pilihan utama saya menabur bakti.

“Memandangkan sudah berkahwin, saya perlulah mendapatkan nasihat daripada suami yang kini akan melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Matematik Gunaan,”  katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar menyifatkan kejayaan Hazzirah sebagai satu pencapaian yang membanggakan seluruh warga UTM serta wajar menjadi contoh dan pembakar semangat penuntut lain dalam bidang diceburi pada masa akan datang.