UtusanDaily

Friday 24 October 2014

Penutur 'ale uto' golongan kurang kasih sayang?



KUALA LUMPUR: Benarkah individu yang gemar menutur frasa yang dianggap lucah merupakan golongan yang kurang kasih sayang?

Apakah ini 'trend' golongan remaja dewasa ini?

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, orang muda yang sering menuturkan perkataan ini boleh juga dianggap mahu menagih perhatian daripada masyarakat.

"Sudah jadi 'trend' sekarang. Dari segi isunya ia memang masalah individu yang mahu perhatian.

"Dia buat, dia rasa seronok, bila dia sudah seronok, dia sanggup buat apa sahaja untuk tunjukkan kepada masyarakat tentang perangainya itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Dr Abdul Jalil mengulas trend remaja yang suka mengungkap perkatan berunsur lucah 'ale uto' (yang merupakan singkatan kepada perkataan yang membawa maksud lucah) di dalam perbualan seharian mereka.

Ia menjadi 'viral' di media sosial dan turut dirakam oleh seorang remaja dair Pantai Timur dalam sebuat video pendek yang telah dimuat naik di laman YouTube.


Menurut Dr Abdul Jalil, pelaku berkenaan juga dianggap cuba menjadi 'hero' atau 'heroin' masyarakat dan mengalami masalah sikap.

"Ia sama juga dengan mereka yang memuat naik gambar makanan di laman Facebook. Apa motif sebenar kelakuan itu, dari segi jati diri memang tiada, cuma dia tunggu orang lain kata dia hebat," jelasnya.

Dalam pada itu, kata Dr Abdul Jalil, masalah itu turut berpunca daripada ibu bapa yang menganggap anak mereka sudah matang sebelum masa.

"Anak-anak seawal darjah lima atau enam sudah dibiarkan 'berdikari' tanpa dikawal ibu bapa. Mereka bebas bergaul termasuk tiada sekatan di media sosial, akhirnya pengaruh negatif akan meresapi mereka.

"Budaya timur sudah semakin terhakis, apabila masyarakat sendiri menganggap itu satu norma sehari-hari. Apa yang penting keseronokan diri sendiri," jelasnya.

Jelasnya, selain menjadi kegilaan orang ramai, aktiviti yang dilihat menjengkelkan itu menjadi petanda kepada masalah psikologi.

Dalam pada itu, pakar psikoterapi Azman Shah Aziz melihat situasi yang terjadi berpunca daripada keterbukaan internet masa kini.

"Mungkin dahulu cara remaja menunjukkan 'perangai' adalah dengan menunggang motosikal dengan laju, dan amalan itu sudah berubah kini.

"Sekarang ini keterbukaan dan pendedahan kepada internet di kalangan remaja terlalu luas. Bukannya mereka ini tidak diajar apa yang baik atau apa yang buruk, mereka tahu semuanya.

"Jumlahnya juga bukan majoriti tetapi segelintir itu memberi kesan yang sangat negatif kepada seluruh masyarakat," katanya.

Jelasnya lagi, remaja yang berpelakuan demikian juga berpunca 'peniruan' daripada unsur-unsur negara Barat.

Azman bagaimanapun menafikan tingkah laku itu merupakan masalah psikologi namun menganggapnya lebih kepada nilai kehidupan.

"Mungkin mereka akan dilihat mempunyai masalah emosi jika terlebih maki. Tetapi mereka ini bukan dalam kelompok yang kurang kasih sayang.

"Remaja sekarang lebih liberal, persoalannya kini bagaimana kita hendak menguruskan mereka?" jelasnya.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/penutur-ale-uto-golongan-kurang-kasih-sayang-46747?cp

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive