UtusanDaily

Tuesday 11 November 2014

Virus Nipah: Nama kampung terkenal seluruh dunia

Kandang khinzir. Itu pemandangan di kiri dan kanan jalan yang akan dilihat orang luar apabila memasuki kawasan Kampung Sungai Nipah dan Kampung Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan, 15 tahun lalu.

Tetapi kini, kandang itu digantikan dengan barisan pokok kelapa sawit, selepas virus Nipah yang melanda kampung itu menyebabkan lebih sejuta khinzir terpaksa dibunuh dan penternakan haiwan itu dilarang sama sekali oleh kerajaan negeri.

Ketua Kampung Sungai Nipah, Tan Chee Seng, 82, mengakui penularan wabak itu satu pengalaman yang amat menakutkan namun beliau menggagahkan diri untuk membantu penduduk kampungnya yang mula jatuh sakit.

“Setiap pagi, saya menangis dengar kawan ini mati, kawan itu pula masuk wad. Saya sendiri jatuh sakit kerana susah hati tengok penduduk kampung ini pada masa itu,” katanya yang menjadi ketua kampung mulai 1 Julai 1986.

Katanya, mangsa pertama ialah seorang lelaki yang pada mulanya disangka hanya mengalami demam biasa.

“Bermula awal 1999, penyakit ini merebak. Ada yang lepas satu dua bulan kena jangkitan tetapi tak mati, tetapi ada yang seminggu lepas kena terus mati. Sampaikan Hospital Seremban tak cukup tempat (untuk tampung pesakit),” katanya.

Menurutnya, setiap hari, ada kes kematian dilaporkan di kampung dengan populasi lebih 1,000 penduduk itu, majoritinya kaum Cina.

Lebih menghairankan, kebanyakan mangsa merupakan lelaki pertengahan umur yang sihat, iaitu antara 30 dan 50 tahun.

“Semua orang dewasa yang kena sebab mereka jaga khinzir (di kandang). Budak-budak dan orang tua tak ada yang mati,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga pada masa itu tidak dapat mengenal pasti jenis penyakit membawa maut itu.

“Tak tahu mana datang virus ini, kerajaan pun tak tahu. Mereka tak boleh jawab pertanyaan kami semasa mesyuarat (dengan ketua-ketua kampung),” katanya sambil menambah nama virus itu diambil dari Kampung Sungai Nipah, iaitu tempat mula-mula virus itu dikesan.

Beliau turut mengimbas semula bagaimana pegawai kesihatan masuk ke kampung itu dengan pakaian perlindungan penuh, sama seperti digunakan petugas kesihatan untuk virus Ebola yang sedang melanda Afrika Barat kini.

Keadaan wabak itu yang semakin teruk menyebabkan semua penduduk Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk diarah keluar selama dua bulan untuk tujuan semburan ubat nyamuk, menjadikan kampung itu tidak berpenghuni.

Selepas semburan nyamuk dilihat tidak berkesan, kerajaan akhirnya mengambil keputusan membunuh semua khinzir di kampung itu.

Menurutnya, selepas pulang ke kampung itu semula, tiada lagi kes virus Nipah dilaporkan, namun penduduk berdepan kesukaran mencari pendapatan selepas sumber pendapatan utama mereka musnah sama sekali.

Mengakui kehidupan lebih susah selepas kerajaan melarang ternakan khinzir di kampung itu, Chee Seng berkata punca pendapatannya sekarang bertukar kepada tanaman kelapa sawit dan jualan buah-buahan.

“Dulu bela khinzir ada untung sikit, sekarang cari makan dengan tangan sendiri,” katanya sambil menambah anak-anaknya turut keluar mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive