UtusanDaily

Tuesday 25 November 2014

Wakaf untuk abad ke-21

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.254250.1393256427!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_490/image.jpg
muhammad ali hashim

SAYA baru selesai membaca buku bertajuk "The Ulama, Waqf and Ottoman State (1789-1839)" tulisan Selim Argun, hadiah daripada Zeinoul Abedien Cajee, CEO, Yayasan Awqaf Nasional, Afrika Selatan.

Zeinoul Abedein ialah rakan seperjuangan wakaf antarabangsa, juga pembentang pada sesi brainstorm wakaf anjuran WIEF di Dubai pada 3 November lalu.

Buku ini mengandungi banyak fakta sejarah wakaf Turki, justeru sumber rujukan berguna kepada pejuang dan penyelidik wakaf.

Ia fokus kepada peranan besar wakaf, dengan dukungan ulama, merentasi dugaan dan cabaran politik pada zaman pemerintahan Kesultanan Osmaniah, khasnya antara 1789-1839.

Buku ini turut menghuraikan peristiwa menjejaskan institusi wakaf apabila dipusatkan di bawah Kementerian Awqaf yang ditubuhkan oleh Kesultanan Osmaniah pada 1826.

Wakaf pembina tamadun

Wakaf berperanan penting dalam sejarah panjang lebih 600 tahun Kesultanan Osmaniah (1299-1923) berjuang menegakkan agama ALLAH membina tamadun Islam.

Bukti sejarah menunjukkan institusi wakaf memangkinkan pemerintahan Islam diperkukuh sebagai satu agama berorganisasi atau organized religion, hingga berjaya membina dan mengembangkan tamadun Islam. 

Wakaf institusi paling berkesan memakmurkan wilayah jajahan takluk Islam, terutama di Eropah. Bermula kecilan, pejuang Islam menggunakan wakaf membina pusat karavanserai, iaitu rangkaian hentian berehat musafir dan pedagang dibangunkan sepanjang laluan perdagangan.

Pusat rehat seumpama R&R hari ini membekalkan makan-minum, penginapan dan perlindungan, tempat mandi, solat dan masjid, juga penjagaan kesihatan, termasuk untuk binatang kenderaan.

Dilaporkan ada karavanserai menyediakan khidmat R&R percuma untuk selama tiga hari kepada pengunjung, tidak kira sama ada Muslim atau bukan-Muslim, orang bebas mahupun hamba abdi.

Rangkaian karavanserai kemudiannya menjadi nadi ekonomi memakmurkan semua wilayah Kesultanan Osmaniah, selain menjadi paksi pemerintahan dan pusat sebaran tamadun Islam.

Beberapa karavanserai berkembang menjadi bandar dan kota, bukti peranan penting wakaf dalam proses pembandaran dan ketamadunan.

Peranan wakaf sangat hebat hingga di wilayah Balkan, terdapat beberapa bandar dinamakan sempena pewakaf yang mengasaskannya.

Sejarah kota Islam kerap bermula sekitar sebuah pusat atau kompleks wakaf yang di Turki dipanggil kulliye atau imaret. Kompleks berasaskan institusi agama ini selalunya dibiayai sumber sewa diperoleh daripada bedestan (kedai atau pusat beli-belah) berhampiran yang juga diwakafkan, menjadikan seluruh kompleks di pusat kota berupaya berdikari sepenuhnya.

Tanpa subsidi atau beban cukai

Selain membina bandar, ulama Islam berkesan menggunakan institusi wakaf membangun sistem pendidikan, mengembangkan pembudayaan ilmu dan memperkukuh akar umbi syariat Islam dalam kehidupan masyarakat menyuburkan tamadun.

Menerusi wakaf banyak maktab dan madrasah, juga perpustakaan awam, dibangunkan.

Paling menarik, berdasarkan wakaf, pendidikan dapat disampaikan secara percuma tanpa apa-apa bayaran dikenakan kepada pelajar.

Masyarakat Islam di bawah Kesultanan Osmaniah juga terkenal dengan keupayaan tinggi menjaga kebajikan perubatan dan kesihatan awam.

Wakaf perubatan dan pembangunan hospital wakaf pernah disifatkan pemerhati Barat seumpama satu kaedah umat Islam "beribadah menerusi khidmat perubatan" yang tidak terdapat pada penganut agama lain di zaman itu; juga "satu cara menginsuranskan masyarakat tanpa kos atau bayaran".

Wakaf juga berkesan melindungi hak milik hartanah kekal di tangan umat Islam. Pada awal abad ke-19, dilaporkan antara separuh hingga dua-pertiga hartanah di bawah Kesultanan Osmaniah adalah milik wakaf.

Seterusnya, perbelanjaan tahunan wakaf Turki ketika itu menyamai satu-pertiga bajet kerajaan Turki, satu bukti bagaimana wakaf dapat menyampaikan manfaat kepada masyarakat tanpa subsidi atau bajet besar, tanpa birokrasi, juga tanpa beban cukai berlebihan.

Bagaimanapun, institusi wakaf kemudiannya terjejas campur tangan kerajaan, setelah Turki diancam bankrap oleh tekanan ekonomi, terutama di bawah pemerintahan Sultan Mahmud ll (bertakhta 1808-1839).

Politik Turki ketika itu bergolak teruk; dalaman diancam pemberontakan dan peperangan saudara, sementara dari luar negara digugat kekalahan perang menyebabkan kehilangan wilayah pemerintahan menjejaskan sumber kewangan negara.

Ketika itu juga Sultan Mahmud ll membubarkan tentera Janissary membentuk pasukan tentera baru bertujuan memodenkan jentera peperangannya, menambah-burukkan lagi beban perbelanjaan kerajaan.

Untuk mengelakkan daripada tersungkur bankrap, kerajaan Turki bertindak mendapatkan sumber hasil baharu.

Satu sumber mudah ialah memiliknegarakan wakaf pada 1826, memindahkan pentadbirannya daripada kawalan golongan agama dan ulama kepada Kementerian Awqaf.

Antara alasan lain turut digunakan menjustifikasikan tindakan ini ialah tuduhan kelemahan pengurusan wakaf di bawah pentadbiran agama, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan korupsi oleh pihak penguasa agama, yang semuanya kebetulan banyak berlaku ketika itu.

Perhatikan, sekalipun terdapat kelemahan pengurusan, penyelewengan dan korupsi; dipaksa mengharungi rampasan oleh sultan dan kerajaan, juga dimiliknegarakan, dipindahkan kepada kuasa Kementerian Awqaf, institusi wakaf Islam Turki masih kekal berkembang dilindungi ALLAH SWT.  

Bermula daripada wakaf pertama didaftar pada 1048, kini terdapat lebih 35,000 waqfiyya atau akad wakaf berdaftar (waqf deeds) di dalam arkib Pengarah Besar Awqaf Turki di Ankara. Ini bermakna kelebihan utama wakaf ialah ciri kebalnya, kekal membawa manfaat berpanjangan.

Penulis Barat, Marshall Hodgson dalam bukunya The Venture of Islam mengiktiraf kehebatan wakaf dengan menyatakan ia "...berjaya melewati hayat semua dinasti pemerintahan dan empayar dalam sejarah, berkelangsungan menjadi landasan utama tamadun Islam".


Waqaf ikon tamadun Islam abad ke-21

Sesungguhnya wakaf institusi hebat yang wajar diberi nafas baru untuk manfaat umat pada abad ke-21. Dalam konteks ekonomi dan tamadun di pacu bisnes atau business-driven hari ini, selain memperluas peranan tradisional wakaf, tiba masanya wakaf diinovasi, dan satu daripada caranya ialah membangunkan Waqaf Korporat.

Waqaf Korporat berupaya menjana harta bisnes menegak keadilan menyeimbangkan agihan kekayaan dunia yang kini dibolot kepentingan swasta milik segelintir individu meminggir majoriti, mengakibatkan ketidakadilan dan kezaliman ekonomi.

Perhatikan betapa wakaf masjid-masjid hebat di Turki seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru) di Istanbul dan Masjid Selimiye di Erdine menjadi ikon Islam, simbol sumbangan Turki kepada pembangunan tamadun Islam.

Tiba masanya Malaysia, sebagai antara negara Islam termaju di dunia hari ini, turut bersama menyumbang kepada pembangunan tamadun Islam di abad ke-21.

Satu sumbangan Malaysia untuk memperkasa ekonomi dan tamadun umat ialah menjadikan GLC seperti Felda, Tabung Haji, PNB, Khazanah, JCorp, PKNS sebagai institusi ikon untuk dicontohi. Sumbangan GLC kepada pembangunan Malaysia sangat hebat.

GLC bukan sahaja berjaya bantu membasmi kemiskinan, malahan dapat menegakkan keadilan memperkasa ekonomi umat Islam.

GLC seperti Felda boleh menjadi ikon lebih hebat jika diwakafkan, mengekalkan hak milik beratus ribu hektar tanah yang akan bertambah nilainya untuk manfaat generasi masa depan.

Kemudian bayangkan Wakaf Felda membangunkan bandar-bandar baru di seluruh kawasan Felda (bukan setakat melabur membangun projek hartanah di London), meningkatkan nilai aset peneroka, membuka luas peluang ekonomi menambah pendapatan rakyat jelata generasi demi generasi.

Bayangkan juga andainya IPTA diwakafkan, dikorporatkan dengan suntikan aset bernilai tinggi supaya dapat berdikari, diikuti pada jangka panjangnya keupayaan membiayai kos pendidikan pelajar miskin.

Juga, GLC pemilik rangkaian hospital swasta terbesar negara dijadikan Waqaf Korporat, kekal berpanjangan memberi khidmat perubatan terbaik.

Kemudian memanjangkan manfaat perubatan dan kesihatan kepada rakyat jelata dibiayai sumber wakaf.

Akhirnya, bayangkan juga andainya JCorp, pemilik hampir seribu restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Cambodia dan Mumbai serta negeri Maharashtra di India dapat diwakafkan.

Kemudian, dengan dukungan sumber dana global, JCorp lancarkan pula strategi mengambil alih KFC Amerika Syarikat, bertujuan menghalalkan ayam goreng KFC seluruh dunia!

Pasti ada yang akan menganggap bayangan senario di atas seumpama mimpi siang hari.

Namun semuanya tidak mustahil dijadikan realiti jika ada iltizam politik Melayu mewakafkan GLC strategik, menjadikannya ikon sumbangan negara kepada pembangunan tamadun Islam abad 21.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive