UtusanDaily

Wednesday 21 May 2014

Sains, matematik dalam BM wujud sejak abad ke-5

Dr Shaharir Mohamad Zain
Dr Shaharir


KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu memiliki kekayaan ilmunya tersendiri dan ia sangat penting untuk memperihalkan pelbagai ilmu termasuk Sains dan Matematik, kata Felo Penyelidik Utama, Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain.

"Setelah dikaji, pengungkapan Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu sudah lama wujud sejak abad kelima Masihi, dan Barat sendiri telah mengambil ungkapan Bahasa Melayu untuk dijadikan ilmu," katanya.

Prof. Shaharir, seorang ahli sains dan akademik, bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada program Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan di Kolej Teknologi Makmal Perubatan Malaysia (KTPM) di sini, hari ini.

Ceramah beliau bertajuk "Bahasa Melayu Dalam Pengungkapan Sains dan Matematik".

Antara pengisian utama yang diketengahkan dalam ceramah adalah, 'Kaya-Miskinnya Bahasa Melayu', 'Kewujudan Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu Sebelum Abad ke-20 M', 'Nombor dan Angka Malayonesia', 'Aljabar', 'Geometri', dan 'Astrologi, Astronomi, Kosmologi, Kosmogoni, dan Kosmogenesis'.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Abd. Karim A. Bakar memberitahu pemberita, penganjuran Program Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan sebulan sekali adalah antara usaha DBP menyemarakkan program bahasa kebangsaan.

Ia antara langkah ke arah menyahut hasrat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JKPBK) dalam menyemarakkan program pemasyarakatan bahasa kebangsaan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk dalam bidang Sains dan Matematik.   

JKPBK dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Program wacana tersebut memberi pendedahan kepada pelbagai lapisan masyarakat mempelajari kekayaan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.

"Sebenarnya, pengungkapan Bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Matematik sangat luas dan ia tanpa batasan kerana kekayaannya membantu menjelaskan pelbagai istilah dalam bidang ini secara lebih mendalam.

"Kami juga memperluaskan pengungkapan Bahasa Melayu dalam bidang yang lain seperti ekonomi, undang-undang dan sebagainya," katanya. - Bernama

Internet punca buku terpinggir?

Internet punca buku terpinggir?

KOTA BHARU - "Nak dapat maklumat tu? Alahh Gooogle je," kata seorang rakan apabila ditanyakan maklumat yang diingini penulis.    

Jika 30 tahun lepas pencapaian internet mungkin menjadi sesuatu yang asing bagi kita semua namun kini ia sebenarnya hanya berada di hujung jari.
    
Lihat sahaja di sekeliling kita, baik yang kecil sehinggalah kepada yang berusia emas, rata-rata mempunyai gajet di tangan seperti telefon bimbit atau tablet yang canggih.
    
Dunia tanpa sempadan! Mungkin itu ungkapan paling tepat dalam melayari internet ketika ini dan antara pertanyaan yang sering kali diucapkan terutama golongan muda ialah masih relevankah pencarian maklumat menerusi bahan rujukan buku.
 
Mungkin sesetengah pendapat mengatakan pencarian sebegitu sudah ketinggalan zaman malah perpustakaan awam yang wujud tidak lebih sebagai tempat menyimpan buku semata-mata dan leceh untuk ke sana bagi mencari bahan rujukan apatah lagi bahan yang ada begitu terhad dan tidak terkini.
   
Pelajar akui penggunaan internet lebih  mudah
   
Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Baharu, Tuan Nurul Nadia Tuan Asri, 23, berkata aplikasi pencarian maklumat melalui internet sememangnya menjadi pilihan utama beliau kerana ia menjimatkan masa.
    
"Kebergantungan kepada buku sebagai sumber rujukan semakin berkurangan dalam setiap tugasan dan pembelajaran kerana aplikasi internet jauh lebih cepat dan mesra pengguna.
    
"Kita cuma perlu taip sahaja rujukan yang dikehendaki di pautan berkenaan dan semua maklumat akan diperoleh. Ia seperti buku bergerak", katanya yang sedang mengikuti jurusan kewangan.
    
Sumber rujukan buku yang agak terhad di perpustakaan dan tidak terkini juga menjadi faktor pelajar lebih cenderung menggunakan internet.
    
Seorang guru, Rozita Nasir, 30, pula berkata dengan adanya sistem carian maklumat melalui internet pelbagai bahan berguna dapat diperoleh untuk kegunaan pelajar.
    
"Sebagai guru, pengurusan masa yang bijak amat perlu dan kecanggihan teknologi maklumat amat membantu.
    
"Bukan kita menafikan kepentingan buku sebagai sumber rujukan tetapi tranformasi positif dalam teknologi semasa boleh dimanfaatkan," katanya yang bertugas sebagai guru Pendidikan Seni sejak empat tahun lepas.
    
Bagaimanapun, pendidik perlu bijak memilih maklumat bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pendidikan, katanya.
   
Perkembangan teknologi tidak gugat peranan buku
   
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Ruslan Hassan bagaimanapun melihat perkembangan teknologi itu tidak menggugat peranan buku sebagai sumber rujukan malah menjadi nilai tambah.
    
"Tidak semua maklumat yang didapati dalam aplikasi carian maklumat tepat terutama untuk membuat kajian ilmiah.
 
"Buku adalah sumber rujukan terjamin sedangkan terdapat banyak maklumat dalam internet boleh diedit oleh sesiapa," katanya.
    
Apa yang lebih penting adalah usaha menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat tanpa mengira apa sahaja bentuk dan kaedah pembacaan.
    
"Saya percaya usaha mencari maklumat melalui pembacaan buku memerlukan tumpuan dan ketekunan sehingga dapat menjadikan pembaca lebih matang, kritis dan menghargai bahan yang dibaca.
   
Budaya plagiat dikhuatiri lebih meluas
   
"Apa yang mungkin menjadi kebimbangan apabila pelajar mendapatkan sepenuhnya maklumat daripada internet secara mudah akan mewujudkan budaya plagiat (meniru) yang akan membantutkan perkembangan ilmu," tambahnya.
    
Kedua-dua kaedah itu harus diseimbangkan dan pengguna perlu bijak mengguna teknologi terkini dalam memartabatkan ilmu.
    
Namun beliau tidak menafikan perkembangan pantas teknologi maklumat turut membantu memartabatkan buku sebagai bahan rujukan seperti sistem E-Book.
    
Sehingga kini peranan perpustakaan dan buku sebagai rujukan masih releven kepada masyarakat terutama pelajar, jelas beliau.
    
Di Kelantan terdapat tujuh cawangan perpustakaan negeri dan tiga perpustakaan desa yang terletak di Ciku, Gua Musang; Salor (Kota Baharu) dan Dabong di Kuala Krai selain 34 perpustakaan desa di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
    
Menurut Laporan Ekonomi 2013/3014 Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2014, rekod bilangan pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.
    
Laporan itu juga menyebut bahawa rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan akhbar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial.
    
Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial.
    
Seramai 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari internet untuk mengakses Facebook. - Bernama

Monday 19 May 2014

Segalanya terselit hikmahNya - Dahulu menghina Islam & Nabi dalam filemnya kini memeluk Islam

Segalanya terselit hikmahNya
Van Doorn berazam untuk menghasilkan filem yang mengangkat martabat Muslimin.


ADAKAH anda pernah menonton filem Fitna. Filem pendek berdurasi 15 minit ini satu ketika dahulu pernah menggemparkan dunia apabila filem ini dilihat sebagai menghina agama Islam, menghina Rasulullah SAW dan umatnya.

Ramai pemerhati berpendapat kelahiran filem ini sebagai manifestasi sikap prejudis dan Islamofobia kepada Islam dan umat Islam yang meningkat sejak kejadian serangan 11 September 2001.

Karya ini dapat dihasilkan kerana orang yang menjadi tulang belakang pembikinan filem ini adalah seorang ahli politik Party for Freedom (PPV) yang terkenal dengan anti Islam, Arnoud Van Doorn.

Sesungguhnya hidayah ALLAH tidak mengenal siapa. Orang yang dahulunya beriya-iya menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam kini memeluk Islam!

Van Doorn menjelaskan antara faktor utama pengislamannya adalah apabila hati kecilnya terusik melihat penghasilan filem itu dan juga sikap partinya yang selalu memusuhi Islam.

Perasaan itu membuatkan Van Doorn mencari terjemahan al-Quran, hadis, dan buku rujukan Islam. Hari demi hari berikutnya dilalui dengan membaca dan mengkaji buku satu per satu, tanpa meninggalkan aktivitinya yang lain. Selama ini Van Doorn hanya tahu Islam daripada mulut orang yang membenci agama ALLAH ini.

“Saya mempelajari al-Quran kerana rasa ingin tahu yang menebal. Saya mula mempelajarinya setelah keluar daripada Parti PVV. Sebelum itu saya hanya mendengar cerita yang buruk mengenai Islam. Semakin banyak saya membaca semakin saya yakin Islam sesungguhnya agama yang indah dan penuh kebijaksanaan.

“Sebenarnya, sebagai penganut Kristian, banyak nilai baik yang saya pelajari daripadanya. Keadaan ini memudahkan saya untuk menerima Islam sebagai pedoman hidup. Lebih mudah untuk beralih daripada seorang penganut agama Kristian menjadi Muslim daripada seorang atheis (tidak percaya agama), kerana sebelumnya saya  telah mengenal konsep kenabian, adanya malaikat dan disiplin yang selalu ada dalam mana-mana ajaran agama mana pun,” katanya.

Temui jalan hidayah

Kenalan dan individu terdekat Van Doorn tahu yang dia membaca rujukan Islam, langsung tidak terlintas di benak mereka sikapnya itu akan menjadi jalan hidayah bagi Van Doorn. Kerana lazim dalam dunia mereka, mengkaji sesebuah pemikiran atau suatu fahaman tanpa harus mempercayai dan mengikutinya. Bahkan, ramai yang mempelajari Islam kemudian menyerangnya.

Van Doorn menghabiskan waktu hampir setahun untuk mengkaji al-Quran, Sunnah dan sejumlah rujukan Islam tersebut. Dia juga sempat berdialog dengan penganut Islam untuk mengetahui lebih jauh perihal agama yang kini menarik hatinya.

Semakin lama mempelajari Islam, Van Doorn semakin tertarik. Meskipun sebelum ini dia juga memiliki asas Kristian sebagai agamanya, Van Doorn berasakan Islam itu istimewa.
Apa yang selama ini ada dalam kepalanya, Islam itu fanatik, menindas wanita, tidak toleransi, membabi buta memusuhi Barat, perlahan-lahan hilang daripada fikirannya.
Ternyata Islam  sesuatu yang sama sekali berbeza dari apa yang pernah dia sangka. Islam adalah agama yang cintakan kedamaian. Tidak seperti tuduhan media Barat yang selama ini mengisahkan Islam sebagai pengganas.

Jalan hidayah bagi Van Doorn semakin terbuka lebar ketika bertemu dengan seorang Muslim bernama Abu Khoulani, rakannya yang bekerja di Dewan Kota Den Haag.
Selain menjelaskan Islam dengan lebih jauh lagi, beliau juga  menghubungkan Van Doorn dengan Masjid As-Sunnah.

Dianggap pengkhianat

Tidak ada manusia yang tidak pernah diuji ALLAH SWT. Begitu juga dengan empunya diri Van Doorn.

Tidak semua yang suka dan menerima baik pengislamannya lebih-lebih lagi rakan sejawatnya dalam Parti PPV. Kebanyakan daripada mereka marah dengan perubahannya itu bahkan menganggap Van Doorn sebagai pengkhianat.

"Saya jelaskan kepada mereka keputusan ini adalah keputusan peribadi dan terpulang kepada diri ini untuk menganut mana-mana agama memandangkan setiap orang mempunyai hak untuk memilih agama dan kepercayaan.

“Walaupun ramai yang menganggap saya sebagai pengkhianat, tetapi sebahagian daripada masyarakat yang lain memberi reaksi positif. Saya juga menerima sokongan daripada masyarakat lain yang menghantar reaksi melalui Twitter.

“Saya berasa bahagia dan gembira melihat orang yang tidak mengenal saya secara peribadi menyokong dan memahami dengan pilihan yang saya lakukan,” jelasnya yang mengakui ada hikmahnya beliau pernah menjadi sebahagian daripada ahli parti PPV.

Ajak kenali Islam

Van Doorn kini berasakan telah menemui pedoman hidupnya dan beliau ingin mengajak mereka yang bukan Islam  memahami Islam dan mempelajarinya dengan lebih mendalam agar mereka dapat membuang segala prasangka buruk terhadap Islam.

“Pelajarilah Islam, buangkan segala prasangka buruk, Insya-ALLAH kamu akan lihat bahawa Islam itu agama yang sangat indah dan murni, agama Islam yang memiliki sejarah yang begitu agung. Umat Islamnya pula saling mengambil berat antara satu sama yang lain, baik dalam senang mahupun susah.

“Di Barat, Islam umumnya dituding sebagai agama yang melahirkan dan mewujudkan pengganas dan menindas perempuan. Bagaimanakah tanggapan anda terhadap segala tuduhan semacam ini? Semuanya berlaku kerana prasangka yang buruk dan kurangnya wawasan.

Kumpulan fanatik sememangnya wujud dalam mana-mana agama pun di dunia ini. Tapi sayangnya golongan fanatik yang cuma satu peratus itu dipertunjukkan di televisyen dan media-media yang lain, sekali gus pengaruh mereka diperbesar-besarkan.

Sedangkan 99 peratus umat Islam yang lain terus bekerja keras dan hidup dengan aman damai.

Jika semakin ramai orang mempelajari Islam yang sebenarnya, kian bertambahlah yang melihat keindahan Islam,” ujarnya.

Beliau menyedari pengislamannya juga adalah permulaan baru dan banyak lagi yang perlu dilakukan dirinya mengenali Islam.

Kini, sebagai penebus atas kesalahannya membuat Fitna, Van Doorn menyatakan akan membuat karya besar untuk mengangkat Islam.

“Saya berdoa semoga air mata saya ini mampu menghapus segala dosa yang dilakukan pada masa lalu, dan saya akan bekerja untuk menghasilkan karya besar dan ingin mengangkat Islam dan kaum Muslimin setelah kembali daripada ibadah haji,” katanya pada akhir bicara.

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive