UtusanDaily

Wednesday 25 March 2015

Islam bukan pengancam kedamaian

masjid
Islam cintakan kedamaian. - Gambar hiasan.

PATTANI - THAILAND. Islam bukan pengancam terhadap kedamaian dan keselamatan, kata Ketua Majlis Privi kepada Raja Bhumibol Adulyadej, Jen Surayud Chulanont.
    
Oleh yang demikian, semua pihak perlu mengamalkan konsep kesederhanaan (wasatiyyah) untuk membawa masyarakat ke arah kedamaian, kata beliau ketika merasmikan Persidangan Pengajian Islam Antarabangsa ke-3, semalam.
    
Persidangan bertajuk 'Nilai-Nilai Islam Dalam Dunia Yang Semakin Berubah' itu diadakan di Prince of Songkla University, Kampus Pattani (PSU Pattani)  selama tiga hari, anjuran Kolej Pengajian Islam, PSU Pattani dan dihadiri 500 peserta dari 25 negara.
    
"Kita boleh bina kefahaman tentang konsep wasatiyyah pada era perubahan termasuk hak asasi manusia kumpulan minoriti dalam masyarakat," kata beliau.
    
Ini semua perlukan kerjasama antara institusi pendidikan, intelektual, ahli akademik serta badan bukan kerajaan bagi menyelesaikan masalah yang dialami dalam masyarakat kini, ujar Surayud.
    
Beliau berharap persidangan kali ini akan membentangkan perbahasan dan mengambil pengalaman tentang penerapan nilai Islam yang diamalkan masyarakat Islam dan bukan Islam yang berbeza di seluruh dunia untuk mewujudkan kedamaian dan perpaduan yang berkekalan dalam masyarakat berbilang kaum.
    
Persidangan kali ini adalah susulan daripada dua persidangan sebelum ini iaitu pada 2010 yang bertajuk 'Peranan Pengajian Islam dalam Pascaglobalisasi' dan kedua pada 2013, 'Pengajian Islam Dalam Dunia Yang Semakin Berubah: Cabaran dan Peluang'. - Bernama

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive