UtusanDaily

Thursday 28 May 2015

Punca Perlawanan Sarkas Dianjurkan Setiap Tahun




PERTEMUAN di antara Pilihan Malaysia dan Tottenham Hotspur FC di Stadium Shah Alam pada semalam, merupakan perlawanan pendedahan kepada skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua saingan penting pada pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan berkata,‎ perlawanan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah medan terbaik bagi skuad negara sebelum menghadapi Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin (16 Jun) di Stadium Nasional Bukit Jalil, dalam memburu enam mata maksimum.

"Pilihan Malaysia bertemu Tottenham Hotspur FC selain perlawanan persahabatan berstatus 'A' menentang Hong Kong pada 6 Jun 2015 merupakan peluang kepada pemain Malaysia bermain dengan pasukan berkualiti dari pelbagai aspek termasuk taktikal dan fizikal," menurut kenyataan itu.

FAM berkata, walaupun perlawanan menentang kelab EPL itu tidak memberi sebarang mata dalam ranking dunia, ia penting untuk pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh bagi mengukur kemampuan pemain baharu yang dipanggil bagi  menghadapi perlawanan lebih penting, selepas itu.

Badan induk bola sepak negara itu menegaskan perlawanan pendedahan tersebut tidak mempunyai had pertukaran ditetapkan berbanding perlawanan persahabatan berstatus 'A' yang hanya membenarkan pertukaran maksimum enam pemain.
  
Sehubungan itu, FAM tidak mahu perlawanan itu terus dilabel 'perlawanan sarkas' sebagaimana didakwa segelintir peminat tempatan kerana lima pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia akan turut memperkuatkan skuad negara.

"Pada masa sama, penyertaan lima pemain ini mampu meningkatkan kualiti permainan dan turut mampu membimbing serta mengimbangi kekuatan pasukan lawan.

"Melalui perlawanan ini, Dollah Salleh mampu menyenaraikan barisan terkuat bagi menghadapi pasukan kebangsaan Hong Kong di mana perlawanan ini diklasifikasikan perlawanan berstatus 'A' dan akan memberi kesan kepada ranking pasukan kebangsaan," kata kenyataan itu.

Berhubung perubahan jadual liga akibat perlawanan menentang kelab EPL itu, FAM memaklumkan hanya dua perlawanan yang dipinda bagi memberi laluan kepada persiapan pasukan negara, iaitu pada 29 dan 30 Mei serta 1 dan 2 Jun.

Badan induk itu menjelaskan permulaan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula lewat, iaitu minggu kedua bulan Febuari berbanding minggu pertama bulan Januari, disebabkan oleh beberapa isu penswastaan, penajaan dan penyiaran Liga M selain banjir yang melanda negeri di Pantai Timur.

FAM turut menjelaskan perlawanan persahabatan berstatus 'A' menentang Filipina yang dicadangkan pada 5 Mei, terpaksa ditolak kerana ia dibuat selepas majlis undian Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 dan Piala Dunia 2018.

"Pada masa sama, perlawanan persahabatan bertemu pasukan Tottenham Hotspur FC dan Liverpool FC telah lama dimuktamadkan oleh FAM pada awal tahun ini," kata kenyataan itu. - Bernama 

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive