UtusanDaily

Monday 22 June 2015

Cara jimat kos, elak membazir pada bulan puasa

FOUZIAH AMIR & AZIMAH GHAZALI


SEPANJANG Ramadan ini ramai bertukar jadual memasak dan memilih menu yang sesuai untuk berbuka puasa atau bersahur. Pada pandangan mata kasar, mungkin ada yang mengatakan ini soal remeh dan ada juga sebaliknya.

Mengapa perlu bersusah-payah untuk fikir soal makanan, pergi mana-mana bazar Ramadan, apa yang berkenan beli sahaja. Bagi orang 'berduit' mungkin ini dilihat cara mudah. Tapi sejauh manakah makanan di luar dapat menjamin kebersihan, kualiti dan keenakannya? Duit yang dilaburkan mungkin hanya terbuang begitu sahaja apabila dihidu, dirasai mahupun dimakan tidak melepasi tekak pembeli.

Bagi golongan wanita, khususnya mereka yang berstatus ibu dan isteri pasti prihatin dengan selera ahli keluarga. Mereka akan berusaha untuk menyediakan hidangan terbaik untuk dinikmati bersama selepas seharian berpuasa. Ada juga kalangan lelaki rajin ke dapur, sediakan makanan bersama keluarga.

Sejak seminggu sebelum bulan puasa, ramai chef in the house sudah mula menyorong troli dipenuhi bekalan bahan mentah dari pasar raya untuk menyimpan stok memasak. Malah menjelang sehari dua masuk Ramadan, pasar raya menjadi lebih sibuk menerima pengunjung.

Melihat kos kehidupan yang semakin meningkat masa kini, ramai kalangan suri rumah mahupun mereka yang berkerjaya telah merancang penyediaan hidangan berbuka dan bersahur patut dipuji. Malah ada yang mempunyai senarai menu masakan sepanjang bulan. Ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian. Tambahan pula, harga makanan di luar mungkin meningkat apabila sebahagian barang basah dan kering terkena tempias pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu.

Jika direnungkan semula, kita sebagai Muslim perlu melihat semula matlamat berpuasa. Berpuasa merupakan rukun ketiga dalam Rukun Islam. Dengan merasai lapar dan dahaga ini, ia boleh mendidik jiwa untuk mendekati ALLAH SWT dan menghargai nikmat-Nya. Di samping itu, individu itu boleh menghayati kesusahan golongan fakir miskin dan mangsa perang untuk mendapat makanan dan minuman seharian.

Oleh itu elaklah bermewah-mewahan makanan ketika berbuka puasa. Perkara yang perlu dielakkan adalah pembaziran.

ALLAH SWT berfirman: bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa : 27)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa mendirikan puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan kebaikan, maka akan diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu” (Riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive