DALAM melakukan persiapan raya, semestinya ada pasangan suami isteri yang bertegang leher dan bermasam muka mengenai isu balik beraya di rumah siapa.

Si isteri kata tahun ini rumahnya dahulu, si suami jelaskan tahun ini keluarganya mahu mengadakan rumah terbuka di hari raya pertama. 


Nak balik raya mana?

Ustazah Siti Fatahiyah mengulas lagi, saban tahun perbalahan mulut sehingga tidak bertegur sapa perihal isu balik kampung sering 'menghantui' pasangan suami isteri.

"Memang tidak dinafikan, dalam bulan Ramadan yang mulia ini juga kadang-kadang turut tercalit dosa akibat perbalahan suami isteri berkaitan isu beraya di kampung mana. 

"Seharusnya sebelum berkahwin atau di awal perkahwinan, kita telah memahami keadaan pasangan kita. Janganlah dijadikan isu beraya di mana sebagai agenda tahunan perbalahan suami isteri. Hidupkan Ramadan dengan perindahkan tautan kasih sayang dalam keluarga,
seterusnya raikanlah kemenangan ibadah kita dengan keluarga secara mahabbah wa rahmah. 

"Jangan jadikan isu perbalahan ini punca isteri tidak hormat kepada suami. Sebagai isteri, harus memberikan sepenuh kepercayaan dan kehormatan pada suami untuk membuat keputusan. Sebagai suami selesaikan masalah ini dengan bijaksana dan dengan iman," kata pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Akhirnya, semoga jiwa dan minda yang kita didik sepenuh hati untuk menjadi Muslim yang mukmin lebih bertakwa. Didikan Ramadan adalah proses pemangkin ibadah kita terhadap Pencipta Yang Maha Agung. Raihlah kemenangan yang ALLAH anugerahkan dengan bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan di samping memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada ALLAH. 

Seterusnya kita perkasakan lagi iman dan ibadah kita untuk hari-hari seterusnya berbekalkan latihan intensif yang telah kita jalani di bulan Ramadan. Biarlah kita bertemu ALLAH nanti dengan matlamat yang tidak pernah dicalari iaitu 'hidup dan mati' ini adalah kerana-Nya.