UtusanDaily

Sunday 23 August 2015

Baik-buruk enam perdana menteri

ADAM A KADIR

http://image.slidesharecdn.com/perdanamenterimalaysia-111129092641-phpapp01/95/perdana-menteri-malaysia-1-728.jpg?cb=1322560226
EMPAT puluh empat tahun dulu, 1971, Allahyarham Tunku Abdul Rahman bersara daripada jawatan perdana menteri selepas 14 tahun.

Dua tahun sebelum merdeka pada 1957, beliau terlebih dulu menjadi ketua menteri sejak 1955, ketika mana Tanah Melayu atau Malaya diberikan taraf kerajaan sendiri oleh British setelah parti Perikatan yang dipimpin Tunku memenangi pilihan raya pertama pada 27 Julai 1955.

Ini membawa kita ke kini, apabila Datuk Sri Najib berada di tempat Tunku sejak enam tahun dulu, pada 2009. Bagi saya, melalui hidup di bawah enam perdana menteri hanya dinikmati kurang dari 10 peratus penduduk Malaysia yang masih hidup, satu perhitungan secara rambang, mengambil kira lapan juta daripada jumlah 10 juta penduduk Malaysia apabila Tunku bersara, sudah meninggal. Kini, penduduk negara ialah kira-kira 33 juta.

Tunku lebih tua daripada arwah ayah saya selama 17 tahun, layak menjadi seorang datuk kepada saya. Maka saya banyak mendengar tentang Tunku melalui mulut orang lain. Untuk sekian lama saya tidak pernah mendengar orang Melayu kutuk Tunku.

Di pihak pembangkang, kata-kata anti-Tunku dicetuskan oleh rasa iri-hati kerana kemerdekaan tidak jatuh ke tangan mereka.

Sebagai seorang penerbit di RTM, saya ditugaskan menerbit ucapan Tunku sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 1969 tidak berapa lama selepas tragedi 13 Mei. Kespontanan dan humor Tunku jelas sekali timbul ketika rakaman ucapannya itu dilakukan.

Mungkin kerana terlalu sibuk, Tunku tidak menyemak dulu apa yang hendak disampaikan. Apabila beliau tersasul, atau tidak tepat apabila ada koma dan noktah, saya pun menegur secara hormat, berhentikan rakaman dan meminta beliau mengulanginya semula. Selepas dua tiga kali begitu, Tunku pun ketawa. "Haa…rakyat tahu saya ni bukan ahli bahasa. Mereka boleh ampun saya…"

Pada akhir ucapan, terdapat pula perkataan panjang yang saya kira patut digantikan dengan perkataan lain oleh pihak yang menuliskan ucapan itu. Perkataan itu ialah 'mengepalai' yang terjadi daripada perkataan 'kepala'.

Imbuhan 'meng' dan 'i' ditambah. Tunku pun menyebut 'me-nge-palai'. Beliau sedar itu salah. Diulanginya lagi. Juga bunyi tidak betul, dan saya betulkan. "Buat apa bubuh kata-kata panjang-panjang macam ni. Saya pun tak pernah dengak…' katanya dalam loghat Kedah sambil ketawa geli, tetapi tidak marah.

Sebelum disiarkan beberapa hari kemudian, saya terpaksa melakukan 'editing' berat. Lantas saya mendapat panggilan daripada pegawai yang bertanggungjawab di pejabat perdana menteri. "Terima kasih. Ok.

Bunyinya very good. Terima kasih," katanya. Menoleh kembali, saya yakin pegawai itu terasa sangat lega memandangkan ucapan yang dituliskan untuk Tunku itu dibuat tidak cermat dan rapi, tetapi hasilnya tidak membuatkan Tunku berkerut kening. Itulah paling rapat pernah saya menyumbang kepada Tunku.

Maka kata-kata negatif seperti 'anak emas British' atau ungkapan 'kemerdekaan di atas cakra perak' ditujukan kepada peribadi dan pencapaian Tunku.

Jika Tunku sentiasa tersenyum lebar seolah-olah kehidupan ini adalah satu siratan humor, Allahyarham Tun Razak, timbalannya, ialah seorang yang penuh prihatin terhadap tugas yang dipikulnya. Membuka enjin ekonomi baharu di kampung-kampung, kawasan belantara, sektor korporat, dalam bidang pendidikan rendah dan tinggi adalah asas pencapaian Tun Razak.

Sebagai manusia dan pemimpin, Tun Razak dibanggai oleh mereka yang pernah bertugas di bawahnya, terdiri daripada mereka yang kini berusia antara 70 hingga 90 tahun.

Namun manusia cemerlang awal-awal lagi dipanggil pulang. Menjelanya era Tun Hussein Onn, Malaysia seolah-olah mengambil nafas selepas penat berlari begitu jauh di bawah Tun Razak.

Datangnya Dr Mahathir pada 1981, Malaysia sudah cukup dengan pernafasan baru untuk melangkah lebih jauh dan kejauhan ini meninggalkan hasil besar serta kecil selama 22 tahun kemudian.

Dengan adunan sayang dan benci, pujian dan kecaman daripada seluruh dunia, setakat ini tidak ada perdana menteri lain, secara individu atau kolektif, meninggalkan tinggalan-tinggalan tamadun yang sama dengan yang ditinggalinya.

Selama lima tahun di bawah Pak Lah, Malaysia menikmati suasana seperti yang berlaku pada era Tun Hussein Onn. Pengucapan 'Islam Hadhari' dan 'Manusia Saka' menunjukkan puncak kecil dalam graf pencapaian tetapi terus mendatar seperti horizon.

Kiranya beliau tidak mengalami sakit kekurangan oksigen yang membuatkan beliau sering kelelapan seperti yang beliau sendiri akui, mungkin prestasi beliau jauh lebih baik daripada yang sedia berlaku.

Jika Pak Lah saya kenali sejak beliau berada di tahun 2 Universiti Malaya dan memimpin GPMS pada 1962, DS Najib dan saya pula pernah menjadi rakan rapat dalam politik. Pelbagai jawatan korporat di Pahang dan Kuala Lumpur - dan menjadi Ahli Parlimen - adalah hasil kerestuannya.

Namun kehidupan ini, seperti kata Shakespeare, adalah seperti pentas drama. Adegan-adegan bertukar ganti. Pembelian kapal selam dan cetusan tragedinya serta gara-gara 1MDB laksana jerat terbingkas di buku lalinya … dan sukar terlepas. Justeru, legasi DS Najib masih awal untuk dirumuskan.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive