UtusanDaily

Sunday 23 August 2015

Umno satu-satunya kerajaan lawan Yahudi, kata ketua bahagian Kepong

Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Ridhuan Abdul Hamid menyampaikan ucapan semasa mesyuarat dengan delegasi Umno Kepong di Hotel Hilton Kuala Lumpur, KL Sentral hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 Ogos, 2015.
Kerajaan Umno merupakan satu-satunya kerajaan yang menentang Yahudi, kata Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Ridhuan Abdul Hamid hari ini, mempertahankan sumbangan derma politik RM2.6 bilion daripada negara Arab kepada Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, jika dibandingkan dengan negara Asia lain, Malaysia masih lagi bebas daripada ancaman Yahudi kerana ketegasan Najib dalam melawan anasir jahat tersebut.

"Umno ini satu-satunya kerajaan yang menentang Yahudi. Negara Asia lain sudah pun ditawan puak Yahudi. Singapura habis, Thailand habis, Filipina habis, Indonesia pun dah nak habis.

"Tetapi Malaysia masih lagi dipertahankan oleh Najib," kata Ridhuan ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepong di Kuala Lumpur pagi ini.

Atas kepercayaan terhadap peranan yang dimainkan kerajaan Malaysia itu, katanya, negara Arab bermurah hati menyumbang dana politik kepada perdana menteri untuk menghadapi pilihan raya umum yang lalu.

Kontroversi tercetus selepas Sarawak Report dan The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan mengenai wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dikatakan dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib tidak membuat penafian mengenai dakwaan tersebut sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan kewujudan wang tersebut dalam akaun peribadi beliau yang dikatakan derma politik.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga lantang membangkitkan mengenai isu wang tersebut malah mendesak Najib membuat penjelasan mengenainya.

Timbalan perdana menteri baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mempertahankan Najib, mengatakan penderma dari Timur Tengah memberi AS$700 juta kepada Najib kerana mahu membantu memastikan Barisan Nasional dan Umno memenangi pilihan raya umum ke-13.

Malah, Zahid juga berkata, secara peribadi sudah bertemu wakil "keluarga" dari Timur Tengah yang menderma wang itu. – 23 Ogos, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-satu-satunya-kerajaan-lawan-yahudi-kata-ketua-bahagian-kepong#sthash.WjHc9j54.dpuf

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive