UtusanDaily

Sunday 11 October 2015

Sekali ZAHID back-up NAJIB dalam isu 1MDB - Jangan menang sorak tapi kampung tergadai

1MDB: Jangan menang sorak tapi kampung tergadai



KUALA LUMPUR - Berikut ialah kenyataan penuh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

1. Terlebih dahulu, izinkan saya selaku Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyuarakan pandangan berkenaan titah Majlis Raja-Raja tentang isu 1MDB dan situasi negara baru-baru ini. Hak untuk menyuarakan pendapat secara bebas merupakan asas kepada sistem demokrasi yang kita raikan.

2. Namun demikian, sebarang kenyataan yang bersifat provokasi tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk menggambarkan seolah-olah agensi penguatkuasaan tidak mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan penyiasatan dan melakukan pendakwaan segera.

3. Kepercayaan hendaklah diberikan kepada ketua-ketua jabatan berkaitan untuk melakukan penyediaan kertas siasatan dan kertas pendakwaan mengikut kaedah perundangan sedia ada. Sebarang tekanan atas sifat melayani sentimen dan menuding jari tidak seharusnya menyandari sebarang saranan untuk tidak melengahi langkah perundangan yang dilakukan.

4. Harus disedari ketulusan saranan yang terhasil dari kenyataan Majlis Raja-Raja tidak sepatutnya ditangguk dalam air keruh yang seharusnya dijernihkan agar terpancar keikhlasan untuk menyelamatkan parti dan kerajaan bukan mendendami tindakan dan memburukkan keadaan yang akhirnya menyumbang kepada menang sorak kampung tergadai.

5. Jika benar tersemat hasrat sesetengah pihak untuk menyelamatkan negara dan parti, tindakan berhemah hendaklah menjadi keutamaan agar ianya tidak diambil kesempatan oleh yang bersuara minoriti untuk mengambil alih kerajaan secara tidak bermoral biarpun mungkin ianya tidak menyalahi sistem perundangan.

6. Selaku seorang pejuang parti Umno yang setia, saya percaya semua permasalahan pastinya mampu diatasi dengan istiqamah. Saya yakin Perdana Menteri dan kerajaan sedang lakukan yang terbaik dalam memastikan program rasionalisasi yang mendapat sokongan Jemaah Menteri dapat diselesaikan dalam tempoh enam (6) bulan seperti yang dipersetujui.

7. Menjunjung kasih saranan Majlis Raja-Raja bukanlah dengan mengambil langkah provokasi untuk mengajak khalayak meragui kredibiliti agensi yang berwibawa untuk mengambil tindakan secara rasional mengikut proses perundangan.

8. Sebagai pemimpin yang masih dihormati atas apa jua jawatan penting di dalam parti, seharusnya tindakan yang diambil harus memperlihatkan usaha penyatuan dalam situasi yang sukar yang sedang dihadapi oleh Umno, BN dan kerajaan.

9. Situasi sukar sebegini pernah dihadapi dalam kepimpinan yang terdahulu, namun atas kesatuan dokongan akhirnya permasalahan dapat didepani dengan bijaksana. Saya meminta semua pihak memberikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan dan perundangan untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa mempertikaikan kemampuan mereka untuk melunaskan tugas dengan sempurna.

10. Saya menyeru rakyat, terutama pemimpin-pemimpin parti kerajaan di semua peringkat akan berlapang dada dan berfikiran terbuka tanpa menanam rasa kebencian untuk menterjemahkan hasrat berkokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang dengan najis.

11. Marilah kita bersama sama bersatu hati, tenaga dan matlamat dalam memastikan kestabilan negara terbela demi menjamin kemakmuran ekonomi dan keamanan negara terpelihara dalam senario ekonomi dan geopolitik dunia yang sangat mencabar hari ini.

Ingin saya tegaskan, prioriti utama kerajaan hari ini adalah dalam usaha memastikan masa depan rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia sentiasa terpelihara. - Bernama

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive