UtusanDaily

Thursday 26 March 2015

Hati-hati 'update' status di media sosial


Media sosial

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau segala jenis media sosial bagi mengelakkan disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab bagi tujuan menghasut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, jika seseorang individu itu ingin menulis sesuatu kenyataan di media sosial, ia haruslah tidak berbaur hasutan.

"Sebagai contoh jika tweet...janganlah sampai menghasut dan menimbulkan kemarahan pihak lain. Kami sebagai penguat kuasa utama akan mengambil apa jua langkah yang patut dalam mengekang perkara ini dan pastikan elemen seperti IS (melalui media sosial) tidak boleh mengancam ketenteraman awam," katanya.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Peringatan Polis yang ke-208 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, hari ini.
    
Khalid berkata, kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau di media sosial seperti Twitter boleh membuat laporan kepada pihak berkenaan (pengendali media sosial).
    
Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' selari dengan kehendak kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam, dan tema itu juga diambil bertujuan untuk merakyatkan perkhidmatan polis dalam memastikan pemuafakatan PDRM dan masyarakat terus ampuh.
    
Sementara itu, PDRM sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kes penghinaan terhadap agama Hindu yang disebarkan dalam laman sosial Facebook, Isnin lepas.
    
Khalid berkata, individu yang menyebarkan perkara itu akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.
    
"Tidak kisah siapa individu itu, kami tetap akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Semalam, Pemuda MIC Kebangsaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berhubung paparan di laman sosial Facebook yang didakwa berunsur penghinaan terhadap agama Hindu. - Bernama

Beri penerangan mendalam tentang hudud


hudud

ROMPIN – Sebelum undang-undang hudud digunapakai di mana-mana negeri atau Malaysia, penerangan secara mendalam mengenai undang-undang Islam tersebut perlu diberikan kepada rakyat secara terbuka melalui media perdana.

Ketua Penerangan Pas Kawasan Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly, berkata, sokongan daripada semua pihak terhadap hudud sangat dialu-alukan bagaimanapun rakyat perlu dididik agar tahu mengenainya.

"Media perdana adalah medium terbaik untuk memberi penerangan tentang pelaksanaan hudud di negeri atau negara ini sebagaimana penerangan yang sama dalam bentuk iklan digunakan untuk mempromosikan GST.

"Selebriti televisyen digunakan dalam usaha mempengaruhi rakyat supaya menerima pelaksanaan GST dan kerajaan juga sepatutnya boleh menggunakan kaedah sedemikian dalam isu hudud ini supaya rakyat faham agar tidak timbul salah faham berkaitan hudud," katanya ketika sidang media di Markas Pas Kampung Sepakat, Kuala Rompin, malam kelmarin.Read More>>

Wednesday 25 March 2015

Islam bukan pengancam kedamaian

masjid
Islam cintakan kedamaian. - Gambar hiasan.

PATTANI - THAILAND. Islam bukan pengancam terhadap kedamaian dan keselamatan, kata Ketua Majlis Privi kepada Raja Bhumibol Adulyadej, Jen Surayud Chulanont.
    
Oleh yang demikian, semua pihak perlu mengamalkan konsep kesederhanaan (wasatiyyah) untuk membawa masyarakat ke arah kedamaian, kata beliau ketika merasmikan Persidangan Pengajian Islam Antarabangsa ke-3, semalam.
    
Persidangan bertajuk 'Nilai-Nilai Islam Dalam Dunia Yang Semakin Berubah' itu diadakan di Prince of Songkla University, Kampus Pattani (PSU Pattani)  selama tiga hari, anjuran Kolej Pengajian Islam, PSU Pattani dan dihadiri 500 peserta dari 25 negara.
    
"Kita boleh bina kefahaman tentang konsep wasatiyyah pada era perubahan termasuk hak asasi manusia kumpulan minoriti dalam masyarakat," kata beliau.
    
Ini semua perlukan kerjasama antara institusi pendidikan, intelektual, ahli akademik serta badan bukan kerajaan bagi menyelesaikan masalah yang dialami dalam masyarakat kini, ujar Surayud.
    
Beliau berharap persidangan kali ini akan membentangkan perbahasan dan mengambil pengalaman tentang penerapan nilai Islam yang diamalkan masyarakat Islam dan bukan Islam yang berbeza di seluruh dunia untuk mewujudkan kedamaian dan perpaduan yang berkekalan dalam masyarakat berbilang kaum.
    
Persidangan kali ini adalah susulan daripada dua persidangan sebelum ini iaitu pada 2010 yang bertajuk 'Peranan Pengajian Islam dalam Pascaglobalisasi' dan kedua pada 2013, 'Pengajian Islam Dalam Dunia Yang Semakin Berubah: Cabaran dan Peluang'. - Bernama

Gajet di tangan anak mungkin 'pintu' ke dunia lain



Telefon
Gambar Hiasan.

KEADAAN di dalam rumah senyap-sunyi. Di meja makan, anak perempuan berusia 16 tahun sibuk dengan laptop lama, mungkin melayari Facebook atau Instagram atau apa sahaja halaman sosial yang sedang menjadi kegilaan buat masa kini.
   
Sementara adik lelakinya yang berusia 10 tahun menghabiskan masa di dalam biliknya.
   
Ibu bapa berfikir mungkin anak lelakinya itu sedang tidur atau leka dengan permainan di tabletnya.
   
Apa pun, senario ini melegakan ibu bapa kerana anak mereka ada di dalam rumah dan dalam keadaan selamat.
   
Ibu bapa yang beranggapan begini diharap berfikir semula!
   
Mungkin benar anak ada di rumah tetapi gajet yang ada di tangan mereka itu adalah 'pintu' kepada dunia yang lain.
   
Pintu itu membuka laluan kepada pelbagai kemungkinan dan mendedahkan mereka kepada orang asing serta kenalan yang berniat jahat.
   
Tambahan, mereka juga terdedah kepada pelbagai visual dan maklumat yang tidak disaring.
 

BAIK BURUK INTERNET
 
Memang tidak dapat dinafikan Internet memberi banyak manfaat kepada manusia.
   
Mereka boleh mengakses sebanyak mungkin maklumat, kebudayaan, komunikasi serta hiburan.
   
Peluang ini sudah tentu menggalakkan daya kreativiti dan melahirkan peluang dalam setiap sudut kehidupan.
   
Malangnya, Internet juga mempunyai keburukan kerana ia mengandungi ancaman terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan remaja.
   
Membuli siber, pornografi, keganasan, penderaan perkauman dan penipuan kini adalah ancaman serius bagi mereka yang melayari Internet.
   
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang dipetik sebagai berkata, " ancaman itu adalah benar."
   
Menurut Rohani, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia telah memaklumkan kepada beliau kes bunuh diri dan membahayakan diri sendiri yang melibatkan kanak-kanak akibat buli siber serta ketagih permainan siber.
   
"Ini adalah ancaman serius tetapi kita selalu buat tak endah. Kanak-kanak pada usia muda telah terdedah kepada bahaya ini yang mungkin juga boleh membahayakan nyawa mereka atau menyebabkan kemurungan," beliau
 

DIDIK ANAK
 
Ibu bapa perlu sedar risiko-risiko ini dan selalu perhatikan anak mereka sewaktu mereka dalam talian.
   
Bagaimanapun, dalam situasi ini dengan gajet yang serba-serbi canggih, kemampuan ibu bapa untuk melindungi anak mereka juga terbatas.
   
Kanak-kanak mengguna telefon mobil atau gajet lain hampir saban waktu untuk mengakses media digital dan ini menyukarkan ibu bapa memantau kegiatan mereka.
   
Phenny Kakama, Pegawai Kanan Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, menegaskan kanak-kanak sendiri perlu memainkan peranan penting dalam soal keselamatan dalam talian.
   
Kanak-kanak perlu tahu untuk melindungi diri mereka serta rakan sebaya mereka.
   
"Kanak-kanak perlu tahu risiko dan bagaimana untuk mengelakkannya. Mereka perlu kemahiran untuk membuat pilihan dalam kegiatan ruang siber dan saling bantu-membantu," katyanya.
   
Phenny percaya kanak-kanak juga berperanan sebagai pendidik rakan sebaya, mentor dan penasihat.
   
"Bagaimanapun, orang dewasa perlu menyediakan rangka kerja bagi menjamin persekitaran dalam talian yang lebih selamat," tambahnya.
 
 
TANGGUNGJAWAB DAN PENGGUNAAN POSITIF INTERNET
 

Dengan 17.5 juta pengguna Internet di negara ini, ibu bapa dan anak perlu dididik dan dilengkapkan dengan pengetahuan yang perlu mengenai keselamatan siber supaya mereka dilindungi apabila dalam talian.
   
Selaras dengan Matlamat Dasar Negara yang terkandung dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) giat mempromosi penggunaan positif Internet termasuk akses yang bertanggungjawab untuk kandungan yang bersesuaian.
   
"Kami maklum bentuk Internet kerap berubah dan tidak realistik untuk cuba mengawal semua orang. Kami sering menekankan pentingnya kepada pengguna mengawal diri sendiri," kata Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar.
   
Menerusi program Klik Dengan BijakTM (KDB)yang dilancarkan pada Julai 2012, SKMM berharap dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan penggunaan positif Internet di samping mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati akan jenayah siber.
   
Menurut Eneng, meskipun SKMM tidak mengendalikan kes yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa atau pelaku jenayah dalam talian yang serius, pihaknya ada menerima sejumlah kecil aduan berkaitan dengan salah guna dalam talian melibatkan kanak-kanak.
   
"Dalam kebanyakan kes, kami akan memberi nasihat bagaimana untuk mengendalikan kes ini.
   
"Untuk maklumat anda, SKMM telah menubuhkan 'Biro Aduan SKMM' untuk menerima dan mengendalikan aduan berhubung perkhidmatan komunikasi dan multimedia," kata Eneng.
   
Sementara itu, berhubung keselamatan kanak-kanak di alam siber, Persidangan Serantau Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Secara Dalam Talian akan diadakan pada 24 dan 25 Mac di Hotel Marriot Putrajaya.
   
Antara lain, persidangan ini bertujuan mendidik mereka yang berkepentingan seperti ibu bapa, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan berhubung keselamatan kanak-kanak di alam siber. - Bernama
 

Tuesday 24 March 2015

Jangan melawat Taj Mahal ketika musim panas


Taj Mahal

INDIA sememangnya mempunyai banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi. Bagi diri saya, Taj Mahal menduduki tempat paling atas dalam senarai saya.

Makanya, apabila isteri saya di Malaysia memberitahu beliau telah menempah tiket penerbangan ke New Delhi untuk bercuti seminggu bersama saya, perkara pertama yang datang ke minda saya ialah untuk membawanya melawat Taj Mahal.

Terletak di bandar Agra, kira-kira 165 km dari Delhi, Taj Mahal yang berusia 500 tahun ini bukan sahaja menggambarkan betapa agungnya cinta abadi seorang maharaja untuk permaisurinya tetapi juga kehebatan seni bina dinasti Mughal yang memerintah India pada suatu ketika dahulu.


PERJALANAN KE TAJ MAHAL

Kami bertolak dari Delhi seawal 6.30 pagi Isnin lepas dan tiba di Agra kira-kira pukul 9.30 pagi selepas berhenti sekejap sebanyak dua kali di sepanjang Yamuna Expressway.

Lebuh raya enam-laluan itu seakan sama dengan Lebuhraya Utara Selatan dimana kawasan rehat dan restorannya agak bersih.

Perjalanan menggunakan lebuh raya ini membawa kami melalui 'Greater Noida', bandar moden terletak di pinggir Delhi. Dari jauh kami dapat melihat banyaknya bangunan pencakar langit di bandar tersebut.

Sebaik sahaja kami keluar dari lebuh raya, jalannya semakin sempit dan kami melalui beberapa buah kampung. Saya tidak sedikit pun menjangkakan keadaan ini.

Bagaimanapun, semuanya berubah sebaik sahaja kami tiba di pintu masuk utama dan suasana sekeliling begitu berbeza.

Untuk memasuki ke kawasan Taj Mahal ini memerlukan tiket dan pengunjung yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelancong asing sudah beratur dalam satu barisan yang panjang sekali.


TAJ MAHAL YANG HEBAT

Seperti kami, ramai pengunjung yang lain begitu teruja dan tidak sabar-sabar lagi untuk memasuki satu daripada tempat ajaib dunia ini.

Bayaran masuk yang dikenakan ialah 750 rupee untuk orang asing dan hanya 20 rupee untuk orang tempatan. Saya membuat keputusan untuk mengambil seorang pemandu pelancong kerana saya mahu menulis mengenai lawatan ini.

Di kawasan itu juga saya lihat ramai jurukamera berkeliaran dan seorang daripadanya berjaya menyakinkan saya untuk menggunakan khidmatnya sebagai jurukamera 'rasmi' untuk lawatan saya ke Taj Mahal.

Seperkara yang perlu saya sebutkan di sini ialah anda akan hanya dapat menikmati keindahan Taj Mahal ini apabila anda melepasi pintu utama kerana ia dilindungi tembok batu berwara merah.

Sebaik sahaja saya dan isteri melangkah masuk di pintu itu, tersergam di hadapan kami bangunan yang sungguh menakjubkan yang sebelumnya saya hanya lihat dalam majalah dan filem.

Orang muda atau tua nampaknya sama-sama terpukau melihat bangunan hebat 'lambang cinta' ini dengan halamannya ala-British yang dijaga kemas dan rapi mengellingi makam.

Saya juga tidak dapat berkata-kata, sekadar memeluk isteri saya dan bergambar untuk jurukamera.

Pemandu pelancong saya memberikan penerangan mengenai Taj Mahal termasuk sejarah pembinaannya dan apa yang menyebabkan maharaja Shah Jahan membina makam marmar putih ini.

Taj Mahal siap pembinaannya pada tahun 1653 untuk menempatkan makam isteri ketiga baginda, Mumtaz Mahal yang menghembuskan nafas terakhir selepas melahirkan anak suaminya yang ke-14.

Saya rasa ramai yang membawa coretan saya ini sudah tahu akan kisah Taj Mahal ini.


MASA TERBAIK UNTUK BERKUNJUNG

Bagaimanapun, saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa perkara menarik yang perlu diambil kira jika berhasrat melawat Taj Mahal.

Taj Mahal nampak begitu indah sewaktu matahari terbit dan matahari terbenam.

Elakkan datang ke sini pada musim panas terutamanya dari April hingga Julai kerana bahang panasnya dengan suhu boleh mencecah sehingga 46 darjah Celsius.

Pada musim dingin dari Oktober hingga Februari, cuaca lebih sejuk, sehingga serendah 12 hingga 16 darjah Celsius. Sungguh selesa jika mahu melawat Taj Mahal pada masa ini.

Pintu masuk ke Taj Mahal dibuka dari matahari terbit sehingga matahari terbenam kecuali pada hari Jumaat di mana ia dibuka hanya untuk orang Islam menunaikan sembahyang Jumaat di masjid yang bersebelahan dengan bangunan utama.

Menurut pemandu pelancong saya, waktu yang paling baik untuk sampai ke sini ialah sejurus sebelum matahari terbit atau matahari terbenam.

Berada di sini pada waktu malam dibenarkan ketika bulan mengambang dan memerlukan tempahan sehari atau dua hari sebelum lawatan.

Bagaimanapun, ia dihadkan kepada maksimum 400 pengunjung untuk satu malam yang dibahagikan kepada lapan kumpulan,setiap satu 50 orang.

Menurut buku panduan, sewaktu bulan mengambang, Taj Mahal kelihatan begitu indah sekali dan sukar untuk menggambarkannya dengan perkataan.

Ada yang menyatakan bahawa seri cahaya perak yang meliputi Taj Mahal ketika bulan mengambang begitu memukau sehinggakan kebanyakan benda lain yang dilihat selepas itu nampak biasa sahaja. - Bernama

Telefon pintar buat kanak-kanak sakit mental?


Telefon pintar buat kanak-kanak sakit mental?
- Gambar hiasan


MENURUT psikoterapi kanak-kanak, Julie Lynn Evans, jumlah kanak-kanak yang mengalami tekanan perasaan dan anorexic meningkat, dan ianya pasti berkaitan dengan komputer, telefon pintar dan dunia maya (Internet).

"Sesuatu yang jelas sedang berlaku," kata Evans dipetik Telegraph.uk.

"Saya nampak bukti yang sama dalam sejumlah kes melibatkan tekanan perasaan dan anorexic pesakit saya."

"Saya rasa, kehadiran telefon pintar dan jalur lebar (broadband) mengubah keadaan dan drama dalam penyakit mental (melibatkan) kanak-kanak," tambahnya.

Evans dengan jelas menyalahkan perbuatan memberikan telefon pintar kepada kanak-kanak.

"Pada tahun 90-an, saya cuma hadapi satu atau dua kes membunuh diri melibatkan remaja, tapi kini saya dapat empat kes setiap satu bulan," jelasnya.

Selain itu, kes buli di alam maya juga terlalu banyak dan bukan sesuatu yang baru, dan pengurusan sekolah perlu berusaha untuk menangani masalah berkenaan.

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive