UtusanDaily

Saturday 17 October 2015

Tempoh rawatan Zamani sudah tamat - Pengurus

KUALA LUMPUR: Tempoh rawatan pemulihan penyalahgunaan dadah penyanyi, Zamani Slam di Rumah PENGASIH selama enam bulan sudah tamat, kata Pengurusnya, Johan Aziz . 

Justeru, Johan berkata istilah Zamani melarikan diri daripada pusat rawatan itu adalah tidak wajar kerana keputusan menjalani rawatan pemulihan di situ adalah pilihan beliau sendiri dan bukan atas perintah mahkamah. "Saya ada terbaca kenyataan pihak PENGASIH mencari Zamani seperti penjenayah yang dikehendaki dan merasakan ia sebagai tidak wajar. 

"Zamani dengan suka rela menawarkan diri untuk menjalani rawatan pemulihan di Rumah PENGASIH atas nasihat keluarganya. Malah, tempoh ditetapkan adalah selama enam bulan dan dia (Zamani) sudah melebihi tempoh selama dua bulan di sana. "Saya ada menjenguk Zamani ketika Hari Raya Aidilfitri lalu, dan dia ada menyuarakan hasrat untuk keluar dari PENGASIH bagi menjalani kehidupan seperti biasa namun permintaannya itu dihalang oleh pihak berkenaan. 

"Saya tidak ingin mengganggu apa yang diuruskan pihak mereka namun dalam masa sama, saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Zamani sendiri," katanya kepada BH Online. Menurut Johan, Zamani meluahkan hasrat ingin fokus kepada kerjaya seni dan menerima tawaran menyanyi kerana sudah lama berehat. 

"Zamani berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian kerana dia rasa sudah terlalu lama berehat. Bidang nyanyian sudah sebati dengan dirinya dan dia sendiri meminta untuk menerima tawaran menyanyi secepat mungkin. "Alhamdulillah, dia kini lebih sihat dan ceria. Zamani berkongsi turut menjayakan persembahan menyanyi ketika berada di pusat itu," katanya. 

Johan berkata, Zamani akan mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan perkara ini kepada umum dalam masa terdekat. Zamani didenda RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki dan mengambil dadah, pada 21 Januari lalu.

Tuesday 13 October 2015

Tiada bukti baru, siasatan BNM ke atas 1MDB ditutup - Peguam Negara


PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk menutup siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali berkata ini memandangkan tiada bukti baru dikemukakan BNM bagi meneruskan siasatan mengikut Perenggan 4(b) Bahagian 1 Jadual 5, Akta Kawalan Tukaran 1953 (ECM).

"Bank Negara sebagai badan pengawal aliran wang harus mendapatkan maklumat terperinci sebelum mengeluarkan kelulusan.

"Kesemua tiga kebenaran yang diberikan BNM untuk pemindahan wang yang dimohon 1MDB diberikan dalam tempoh tidak lebih tiga hari," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada maklumat benefisiari diperlukan dalam borang permohonan ECM iaitu borang 09A dan 06B yang diisi pihak 1MDB semasa membuat permohonan.

"Bank Negara sepatutnya meneliti permohonan terbabit dan jelas sekali tiada maklumat lanjut diminta BNM bagi tujuan permohonan terbabit," jelas beliau.

Dalam pada itu, Apandi dengan tegas turut mempersoalkan kenapa 1MDB dipersalah.

"Jika Bank Negara Malaysia tidak memohon maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB harus dipersalahkan apabila mereka telah mengisi borang dan menjawab soalan yang diperlukan?" soalnya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menarik kembali tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi pelaburannya di luar negara bernilai AS$1.83 bilion.

Malah, menerusi siasatannya BNM berkata 1MDB memperoleh kebenaran pelaburan dengan memberikan maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap dalam permohonan kepada Bank Negara.

Justeru, BNM berkata ia telah mengesyorkan tindakan diambil oleh Pejabat Peguam Negara terhadap 1MDB ekoran pelanggaran mengikut Akta Kawalan Tukaran (ECA) 1953. - ASTRO AWANI

Monday 12 October 2015

Sejarah bagaimana lahirnya AIRASIA..dari bidang muzik menceburi bidang penerbangan..!!

SEJARAH AWAL BAGAIMANA AIRASIA BERMULA


Temuramah dengan Tan Sri Tony Fernandes (Gambar adalah pejabat Tony Fernandes di LCCT, ada satu pintu yang membolehkan anda naik ke atas, di antara barisan kedai-kedai, ada lif, tingkat 1) .

SIAPA YANG MULA-MULA TERLIBAT?

Saya dan Kamaruddin berdua pada mulanya, Kamaruddin saya kenal melalui Roslan Aziz, dulu saya bekerja dalam industri hiburan, bila saya balik (dari England) tidak ada musik tempatan, hanya ‘Mat Saleh musik’.

Kami mulakan musik tempatan, dengan Jamal Abdillah, Salem, dan Zainal Abidin, saya kenal dengan Roslan Aziz dan Roslan perkenalkan saya dengan Kamarudin.

Sampai satu hari saya jemu berkerja dengan orang asing, saya terfikir hendak buka syarikat penerbangan, dan Kamarudin adalah orang yang tidak ketawa dengan idea saya.

Dia orang yang terlibat dengan dunia kewangan. Jadi saya beritahu, boleh pergi cari RM20 juta, kita perlukan.

KENAPA PILIH SYARIKAT PENERBANGAN?

Bila saya bersekolah di England, ayah saya hantar saya ke sana ketika berusia 12 tahun, tidak ada siapa yang menunggu di lapangan terbang, saya perlu menaiki bas ke sekolah itu, saya lakukan sendiri. Dan bayangkan ketika itu, bila saya sampai ke lapangan terbang, semua orang berkulit putih… kah kah kah (ketawa).

Ketika itu tidak ada telefon bimbit, perlu guna telefon awam, saya telefon emak tanya, boleh saya balik masa cuti penggal, emak saya kata, tidak boleh kerana (tiket penerbangan) terlalu mahal.

Dari saat itulah, saya terfikir, satu hari perlu buat penerbangan murah, perkara itu sentiasa ada dalam fikiran saya.

Ibu saya ketika muda memulakan perniagaan Tupperware di Malaysia, banyak staf saya kini adalah bekas pekerja ibu saya.

Saya selalu ikut dia terbang ke sana-sini untuk perniagaannya, jadi konsep penerbangan tambang murah ini sentiasa bermain di fikiran.

Bila saya berhenti dari Warner Music, saya duduk di bar dan lihat iklan Easyjet (syarikat penerbangan murah England) dan saya terfikir wow, idea ini bagus.

Kemudian saya pergi ke lapangan terbang Luton, sunguh mempersonakan, boleh terbang ke Barcelona tambah lapan pound, ke Paris 10 pound.

Saya jumpa Kamarudin dan beritahu hendak buka syarikat penerbangan, dia tak kata ‘idea bodoh’ atau seumpamanya, dia kata okay.

Kami jumpa, saya terangkan kepadanya, dia kata, okay, saya join, dan kemudian tanya, apakah saya nak gunakan duit saya sendiri, saya kata ya, dia kata okay, saya setuju kita bahagi 50-50, saya kata ini idea saya bagilah saya 51, dia kata okay. Selesai.

Kemudian saya ajak Aziz Bakar sertai kami, kami bertiga dengan modal RM 1 juta, (Aziz tak letak duit). Kami mula duduk bersama, dan mula buat bisnes plan.

Ia agak mengejutkan sebab kami semua tidak ada pengalaman dalam dunia penerbangan. Kami dapat dari internet.

Kemudian, kami jumpa dengan Datuk Pahamin (Ab Rajab) (bekas Ketua Pengarah Jabatah Pengangkutan Jalan) kami pernah berkerjasama hapuskan cetak rompak ketika saya masih dalam industri hiburan.

Kami jumpa (bertiga) dan makan roti canai, kemudian Aziz buka cerita, “eh macam mana kita hendak dapat lesen penerbangan? “ Kami semua saling berpandangan, “Yalah macam mana hendak dapat lesan penerbangan..” sudah tentu tak boleh dibeli di kedai… kah kah kah (ketawa)

Kemudian Kamaruddin kata “Kita perlukan sokongan politik,” sekali lagi kami saling berpandangan… kami tak kenal siapapun… kah kah kah

Kami kemudian pergi jumpa Datuk Pahamin, terangkan kepadanya, dia suka idea itu dan setuju, dia ada pengalaman dalam Kementerian Pengangkutan, bila timbul soal lesen, dia kata, kita perlu berjumpa Perdana Menteri Dr Mahathir.

Jun 2001, kami bertiga saya, Aziz dan Pahamin, Kamarudin tidak dapat sertai.

Saya sampai awal, ketika sampai, pagar pun belum buka, tidak lama kemudian, bila boleh masuk, kami duduk menunggu sampai ada orang datang, mereka kenal Aziz, dan tanya “Jumpa PM sebab cetak rompak ke?” kah kah kah

Semua orang kenal kami sebagai orang dalam industri hiburan, tapi Aziz kata “Tidak kami mahu buka syarikat penerbangan,” “semua ketawa” kah kah kah.

Semasa kami menunggu, ada pegawai PM beritahu, hari ini bukanlah hari yang baik untuk bertemu PM, saya tanya mengapa, katanya, temujanji pertama PM hari itu adalah dengan pembangkang.

Ia berhubung isu sakit belakang Anwar Ibrahim yang dipenjara ketika itu, yang hadir jumpa PM termasuk ketua pembangkang Datuk Fadzil Noor.

Saya diam, kemudian diberitahu, temujanji kedua PM hari itu adalah dengan MAS, wah lengkap, mula-mula pembangkang kemudian dengan MAS, kamu bayangkan…kah kah kah (ketawa)

Saya terfikir hendak tulis semula CV dan pergi ke BMG Music… hahaha

Ketika beliau masuk ke pejabat PM, luas sungguh, Dr Mahathir kamu tahulah, dia serius orangnya dan terus berkata, “I’m sick, make it fast,”.

Saya terfikir, mula-mula pembangkang, kemudian MAS dan kini PM kata dia tidak sihat. Hahaha, lengkap.

Saya fikir habislah, saya tidak bercakap soal cadangan kami lagi, sebaliknya, sebagai orang dari industri hiburan, saya beri PM satu CD album terbaru SM Salim dan Siti Nurhaliza, rakaman terakhir saya, saya tahu PM peminat SM Salim.

Bila hilang kekok, baru saya bentangkan cadangan saya, Dr Mahathir tidak kata apa-apa, dia hanya senyum sikit bila saya bergurau tentang Singapura, tetapi akhirnya, kami semua terkejut, kerana PM tahu semuanya tentang penerbangan tambang murah.

PM kata dia suka lihat kesungguhan kami, walaupun latar belakang kami bukan dari industri penerbangan, tapi kami menunjukkan kesunguhan, dan dia yakin akan berjaya.

PM akhirnya kata, “Saya tidak ada masalah dengan idea kamu…” kami semua teruja dengan komen dia untuk setengah minit, dan kemudianya dia kata “Tapi… kamu kena ambil alih syarikat penerbangan yang ada, ada dua syarikat penerbangan yang gagal, kamu kena ambil alih yang sudah ada…”

Pertemuan berakhir, kami keluar dan berfikir, duit ada sejuta sahaja, macam mana hendak beli syarikat penerbangan, tapi saya positif.

Kami pergi ke Pelangi Air, anak syarikat milik kerajaan Terengganu, tapi kami dapati sukar untuk baik pulih syarikat itu.

Entah bagaimana, satu hari saya sedang bermain golf saya terlihat kawan lama DRB Hicom, saya teringat tentang Air Asia kepunyaan mereka, saya tanya kepadanya, dia soal semua, “kamu mahu membelinya? Esok pun boleh…kami tidak mahukannya”

Kemudian kami atur pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi DRB Hicom, konsisten, mereka mahu jualnya, mereka tanya saya berapa saya hendak beli, saya bergurau RM1, ya kata mereka esok kamu boleh ambil alih.

(Nota: Ketika itu Air Asia ada hutang sebayang RM40 juta, dengan dua pesawat dan 254 kakitangan)

Kami setuju dan tandatangan perjanjian pada 8 september 2001, 10 tahun dulu.

Kami tiada modal, saya dan Kamaruddin cagarkan rumah kami pada bank untuk cari modal.

DRB Hicom banyak membantu kami diperingkat permulaan, saya perlu nyatakannya.

Kami syarikat penerbangan berlandaskan syariah sebenarnya. Kami satu-satunya penerbangan yang tidak menjual alkohol di rantau ini.

(Ahmad Faizul) ini antara paling awal sertai kami. Dia buat macam-macam tugas, pengurus kabin crew dan lain-lain. Dia dari MAS, sekarang dia jaga komunikasi saya.

Dia bacth yang ke lapan, satu sampai tujuh staf asal ketika bersama DRB Hicom lagi, dia yang ke lapan, dan kini kami ada 127 bacth dalam masa sepuluh tahun.

Saya ingin tekankan bahawa, kami syarikat 1Malaysia dari awal lagi, dan kami juga syarikat bumiputera, ini bukan Ali-baba, Kamaruddin, Aziz Bakar dan Datuk Pahamin adalah pemegang saham yang aktif dan kami kawan.

Kalau kamu lihat Pegurus Kanan Air Asia kamu dapati ramai bumiputera, tapi tidak pernah terfikirkannya, dan kami tidak bercakap soal kaum di sini, semua dinilai kerana merit masing-masing.

Majoriti staf adalah bumiputera. Pembahagian tugasnya mudah, Kamarudin jaga kewangan dan korporat, Aziz Bakar jaga PR, dan saya jaga marketing dan operasi.

LALUAN PENERBANGAN PERTAMA AIRASIA?

Memula-mula saya dapat laluan ke Langkawi, kemudian dapat Pulau Pinang dan selepas dua tahun kami beroperasi semuanya jadi lebih mudah. Pada kami orang ramai, rakyat yang banyak membantu kami.

Kerana sebelum itu sukar untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan (mahal). Orang ramai yang berjuang untuk kami. Sebenarnya orang pertama yang membantu kami dari segi media adalah Rocky Bru (Ahtirudin Atan) dan NST.

Dia adalah editor Malay Mail, saya duduk dengan beliau, dan beliau banyak membantu, juga Utusan dan Berita Harian, Datuk Manja Ismail. Aziz Bakar kenal mereka ini semua.

BAGAIMANA ANDA MEMBINA AIRASIA?

Kami membina jenama, tidak ada syarikat Malaysia yang melabur seperti kami, kami taja MU, pengadil, Formula 1, LA Rangers, kamu tidak boleh pergi dari 200,000 penumpang kepada 30 juta penumpang tanpa melabur.

MAS perlu membina jenamanya.Taja golf atau apa saja, Emirates ada di mana-mana. Kamu potong kos di sana sini, dan akhirnya kamu tiada keuntungan, tiada gunanya.

Syarikat Malaysia kurang pentingkan pembangunan jenama, kami sebaliknya, saya ke Liga Perdana Inggeris, bentangkan kepada mereka mengapa perlu menyokong syarikat Malaysia.

Ini kerana rakyat Malaysia sudah menonton Liga Perdana Inggeris sejak 60 tahun dulu.

Membina jenama adalah amat penting pada syarikat yang ingin berkembang, ketika kami menaja MU, saya dan Kamarudin ke Old Trafford, kami tidak menonton perlawanan, kami menonton papan iklan… hahaha wow Air Asia.. haha.

Kami bawa pasukan MU dalam penerbangan kami. Itulah kali pertama semua pemain hendak ikut serta dalam program bersama penaja, kerana apa? Kerana ada 25 gadis cantik (kabin krew Air Asia) yang melayan mereka sepanjang penerbangan… hahaha

Khairuddin mahu lawan hingga tangan Najib bergari


Bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang berikrar akan berdepan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak habis-habisan.

Hadir dalam pakaian oren lokap, mereka memasuki mahkamah sambil melambai tangan yang bergari dan sempat melontar senyuman kepada hadirin.


“Saya akan pastikan tangan Najib bergari,” kata Khairuddin kepada penyokongnya yang hadir.

Chang berkata mereka tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Beliau yang sudah lima hari mogok lapar bagaimanapun tampil dalam keadaan baik.

Khairuddin dan Chang hari ini dituduh di mahkamah atas cubaan mensabotaj perkhidmatan kewangan dan perbankan negara ini.

Mereka didakwa bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pendakwaan itu susulan laporan polis mereka di Perancis, England, Switzerland, Hong Kong dan Singapura. Jika bersalah, mereka berdepan penjara 15 tahun.

Khairuddin dan Chang kini ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas). Perbicaraan bawah akta ini harus dibuat di Mahkamah Tinggi.

Pemimpin 'heavyweight' BN sertai Tun M, bantah penahanan SOSMA


KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin 'heavyweight' Barisan Nasional hari ini bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media menentang penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah SOSMA.

Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sidang media berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 23 Oktober untuk sebutan semula kes yang melibatkan Khairuddin dan Matthias bagi pihak pendakwaraya menyiapkan dokumen kes.


Sunday 11 October 2015

Sekali ZAHID back-up NAJIB dalam isu 1MDB - Jangan menang sorak tapi kampung tergadai

1MDB: Jangan menang sorak tapi kampung tergadai



KUALA LUMPUR - Berikut ialah kenyataan penuh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

1. Terlebih dahulu, izinkan saya selaku Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyuarakan pandangan berkenaan titah Majlis Raja-Raja tentang isu 1MDB dan situasi negara baru-baru ini. Hak untuk menyuarakan pendapat secara bebas merupakan asas kepada sistem demokrasi yang kita raikan.

2. Namun demikian, sebarang kenyataan yang bersifat provokasi tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk menggambarkan seolah-olah agensi penguatkuasaan tidak mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan penyiasatan dan melakukan pendakwaan segera.

3. Kepercayaan hendaklah diberikan kepada ketua-ketua jabatan berkaitan untuk melakukan penyediaan kertas siasatan dan kertas pendakwaan mengikut kaedah perundangan sedia ada. Sebarang tekanan atas sifat melayani sentimen dan menuding jari tidak seharusnya menyandari sebarang saranan untuk tidak melengahi langkah perundangan yang dilakukan.

4. Harus disedari ketulusan saranan yang terhasil dari kenyataan Majlis Raja-Raja tidak sepatutnya ditangguk dalam air keruh yang seharusnya dijernihkan agar terpancar keikhlasan untuk menyelamatkan parti dan kerajaan bukan mendendami tindakan dan memburukkan keadaan yang akhirnya menyumbang kepada menang sorak kampung tergadai.

5. Jika benar tersemat hasrat sesetengah pihak untuk menyelamatkan negara dan parti, tindakan berhemah hendaklah menjadi keutamaan agar ianya tidak diambil kesempatan oleh yang bersuara minoriti untuk mengambil alih kerajaan secara tidak bermoral biarpun mungkin ianya tidak menyalahi sistem perundangan.

6. Selaku seorang pejuang parti Umno yang setia, saya percaya semua permasalahan pastinya mampu diatasi dengan istiqamah. Saya yakin Perdana Menteri dan kerajaan sedang lakukan yang terbaik dalam memastikan program rasionalisasi yang mendapat sokongan Jemaah Menteri dapat diselesaikan dalam tempoh enam (6) bulan seperti yang dipersetujui.

7. Menjunjung kasih saranan Majlis Raja-Raja bukanlah dengan mengambil langkah provokasi untuk mengajak khalayak meragui kredibiliti agensi yang berwibawa untuk mengambil tindakan secara rasional mengikut proses perundangan.

8. Sebagai pemimpin yang masih dihormati atas apa jua jawatan penting di dalam parti, seharusnya tindakan yang diambil harus memperlihatkan usaha penyatuan dalam situasi yang sukar yang sedang dihadapi oleh Umno, BN dan kerajaan.

9. Situasi sukar sebegini pernah dihadapi dalam kepimpinan yang terdahulu, namun atas kesatuan dokongan akhirnya permasalahan dapat didepani dengan bijaksana. Saya meminta semua pihak memberikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan dan perundangan untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa mempertikaikan kemampuan mereka untuk melunaskan tugas dengan sempurna.

10. Saya menyeru rakyat, terutama pemimpin-pemimpin parti kerajaan di semua peringkat akan berlapang dada dan berfikiran terbuka tanpa menanam rasa kebencian untuk menterjemahkan hasrat berkokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang dengan najis.

11. Marilah kita bersama sama bersatu hati, tenaga dan matlamat dalam memastikan kestabilan negara terbela demi menjamin kemakmuran ekonomi dan keamanan negara terpelihara dalam senario ekonomi dan geopolitik dunia yang sangat mencabar hari ini.

Ingin saya tegaskan, prioriti utama kerajaan hari ini adalah dalam usaha memastikan masa depan rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia sentiasa terpelihara. - Bernama

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive