UtusanDaily

Wednesday 27 January 2016

Keputusan AG akan jadi rujukan buruk kes-kes siasatan rasuah


KUALA LUMPUR 27 JAN: Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari siasatan skandal derma RM2.6 bilion itu dikhuatiri menjadi ‘precedent’ atau rujukan kes terutama siasatan rasuah.

Ia selaras dengan doktrin duluan kehakiman (stare decisis) digunakan dalam ‘common law’ yang menetapkan keputusan mahkamah terdahulu mesti diterima sebagai mengikat undang-undang kes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata keputusan Apandi membebaskan Najib menunjukkan menerima wang dari luar atau dalam negara ke akaun peribadi bukan suatu kesalahan walaupun mencecah bilion ringgit.

“Jika Perdana Menteri boleh terlepas hanya atas alasan wang itu derma yang sudah dikembalikan, rakyat juga boleh menyatakan mana-mana transaksi ke akaun mereka sebagai wang derma tanpa memberi bukti kukuh.

“Misalnya, mana-mana individu atau institusi boleh mengatakan wang dimasukkan ke akaunnya diderma seorang jutawan Jerman tanpa perlu memberi penjelasan terperinci,” katanya, sinis.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas perihal keputusan Peguam Negara membebaskan Najib dari sebarang tuduhan rasuah membabitkan skandal RM2.6 bilion, semalam.

Beliau berkata, keputusan Apandi itu bermakna perlakuan menerima wang ke akaun peribadi tidak lagi boleh disabitkan sebagai kesalahan rasuah kerana ia mesti diterima pakai untuk semua rakyat tanpa mengira darjat, kaum dan agama.

“Selepas ini, semua boleh kata wang diterima mereka adalah derma. Tambahan pula, wang derma tiada sekatan dari Bank Negara dan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sesiapa pun tidak lagi boleh persoalkan sama ada wang itu ada unsur kecurigaan atau penderma mempunyai kepentingan seperti projek bersama. Bolehkah begitu?” katanya kepada Roketkini.

Tengku Zulpuri berkata semua pihak harus bersikap amanah selaras dengan ajaran Islam yang mementingkan keadilan untuk semua, justeru keputusan Apandi itu disifatkannya tidak wajar. -Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive