UtusanDaily

Tuesday 19 April 2016

Rafizi persoal kenapa TABUNG HAJI tidak menyaman beliau sehingga sekarang

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan agensi itu memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya.

Menurut Rafizi, sekiranya isu ditimbulkan beliau adalah fitnah dan menjatuhkan reputasi Tabung Haji, agensi itu sepatutnya mengambil tindakan saman sivil terhadap beliau di mahkamah.

"Sebaliknya, Tabung Haji membuat laporan polis dengan niat supaya saya didakwa di bawah akta jenayah," katanya dalam satu kenyataan media.

Rafizi berkata tindakan itu tidak mengejutkan kerana kuasa pendakwaan terletak di tangan Peguam Negara yang kebetulannya adalah ahli lembaga pengarah Tabung Haji.

"Jika pengurusan Tabung Haji berharap “kebetulan” ini akan memudahkan saya didakwa di mahkamah, sudah tentu ia akan dicabar oleh peguam saya kerana pendakwaan itu boleh ditafsirkan sebagai pendakwaan terpilih atau pendakwaan yang berpunca dari pertembungan kepentingan (conflict of interest)," ujarnya.

Katanya, pendakwaan di bawah akta jenayah lebih mudah disabitkan berbanding tindakan saman di bawah undang-undang sivil yang mengambilkira haknya sebagai ahli parlimen untuk membuat komen munasabah (fair comments) atau berdasarkan maklumat yang diketahuinya (qualified privileges).

"Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat.

"Semua pembuktian dan hak memberi komen di bawah pembelaan “fair comments” dan “qualified privileges” tidak wujud di bawah akta jenayah. Pendakwa selalunya hanya membuktikan bahawa saya telah mengeluarkan kata-kata tersebut," katanya.

Rafizi berkata, dalam beberapa kes melibatkan beliau, terdapat kecenderungan pimpinan Umno dan badan-badan kerajaan membuat laporan polis supaya beliau disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukan saman sivil.

Sehubungan itu kata Rafizi, sekiranya tuduhan beliau tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, agensi itu wajar mengambil tindakan saman terhadapnya di mahkamah dan bukan dengan membuat laporan polis.

Semalam, Tabung Haji dalam kenyataan medianya menafikan lembaga itu memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Lembaga itu juga menyatakan telah membuat laporan polis berkaitan dakwaan dan dokumen-dokumen yang disebarkan Rafizi.

https://www.malaysiakini.com/news/332132

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive