UtusanDaily

Monday 2 May 2016

Benarkah Populariti Adenan mampu raih undi kaum Cina..??


Adenan Satem

SIBU - Calon langsung BN bagi kerusi Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, populariti Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan membantu parti itu meraih undi masyarakat Cina pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Beliau percaya masyarakat Cina akan sedar bahawa adalah penting untuk bersatu dengan BN untuk penyertaan lebih besar dalam kerajaan.

"Saya berharap sokongan masyarakat Cina akan beralih semula kerana pada masa ini, trend politik sangat tidak sihat apabila kaum Cina berada di luar arus perdana arena politik di mana Bumiputera ada dalam kerajaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perjumpaan dengan masyarakat di Tanjung Penasu dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Kamariah Mohd Noah.

Soon Koh berkata, beliau sudah bersedia menghadapi PRN-11 Sabtu depan, dan hampir 90 peratus kawasan Dun yang ditandinginya itu, sudah dilawati selepas tujuh hari berkempen.

"Saya berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan setakat ini. Seminggu selepas penamaan calon, saya sudah melawat kebanyakan kawasan masyarakat Cina di luar bandar dan lebih 100 rumah panjang di Bawang Assan," katanya.

Soon Koh akan terbabit dalam pertandingan lima penjuru di kerusi Bawang Assan, dan percabarnya termasuk bekas anggota Majlis Tertinggi PBB Watson Bangau ak Jonathan Renang yang bertanding sebagai calon Bebas.

Turut bertanding di kawasan berkenaan adalah Wong Sin Wei daripada STAR, Chiew Sung Ngie (DAP) dan seorang lagi calon Bebas, Yeu Bang Keng.

Ditanya mengenai peluang lawannya terutama Watson, Soon Koh yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat serta Menteri Kewangan Kedua Sarawak, berkata beliau tidak akan mengambil mudah cabaran tersebut.

"Sudah tentu, saya tidak akan memandang rendah cabaran daripada Watson Bangau. Beliau sebelum ini tokoh penting dalam PBB, beliau juga pernah menjadi setiausaha politik kepada ketua menteri, dan datang daripada keluarga berpengaruh," katanya.

Bawang Assan menyaksikan sejumlah 18,340 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, dengan 55.1 peratus adalah pengundi Cina, 38.8 peratus Iban, 5.3 peratus Melayu dan 0.8 peratus kaum-kaum lain. – Bernama

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive